MARANG - Kehilangan bapa tercinta akibat strok tahun lalu memberi tamparan hebat buat seorang remaja berusia 15 tahun yang kini terpaksa mendiami Asrama Anak-anak Yatim Darul Falah di Bukit Payong di sini.

Mohd Zahiruddin Mohd berkata, dia pada awalnya tidak sanggup meninggalkan ibunya malah, tidak mahu meneruskan pelajaran dengan alasan keputusan pelajaran yang lepas tidak baik dan baginya, dia tidak perlu lagi meneruskan pelajarannya.

“Saya tak sampai hati tinggalkan emak. Saya hendak bantu emak tanam padi, saya juga boleh bantu emak buat kerja rumah.

"Tapi emak tetap hantar saya belajar di sini. Katanya saya boleh tumpu pada pelajaran untuk masa depan," katanya yang juga anak ketujuh dari 11 adik-beradik.

Hubungannya yang rapat dengan ibu dan arwah bapanya menyebabkan perasaannya berat untuk meninggalkan ibunya untuk menguruskan adik-adik yang lain dengan hanya bekerja sebagai petani di Kampung Lapan Kotak di Jertih.

Ketika ditanya adakah dia bersedia mengharungi kehidupan tanpa bapanya di situ, remaja itu tunduk dan menangis kerana masih tidak yakin mampu untuk mengharungi perjalanan hidup yang masih panjang.

"Sekarang saya dah mula rapat dengan kawan-kawan di sini, malah pihak pengurusan banyak beri sokongan pada saya.

"Saya nak belajar bersungguh-sungguh untuk buktikan anak yatim macam saya mampu berjaya," katanya.

Sementara itu, seramai 104 pelajar sedang menjalani kehidupan mereka di Asrama Anak-anak Yatim Darul Falah tahun ini dan pihak pengurusannya masih memerlukan sumbangan dana bagi membiayai kebajikan anak-anak yatim itu.

Setiausaha Kehormat Persatuan Kebajikan Islam (Perkasa), Sidek Hussin, 57, berkata, dana yang dimiliki asrama anak yatim itu terhad dan hanya menerima bantuan sebanyak 30 peratus dari jumlah RM1 juta diperlukan setiap tahun.

Menurutnya, bantuan sebanyak 30 peratus itu diterima daripada pihak Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pihak Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT).

“Pihak pengurusan masih berdepan kesempitan dana untuk perbelanjaan kebajikan anak-anak yatim di sini dan memerlukan dana sekurang-kurangnya RM700,000 lagi bagi menampung keperluan anak-anak yatim sepanjang tahun ini.

“Asrama ini menempatkan 104 remaja lelaki dan perempuan termasuk pelajar yang baharu mendaftarkan diri bagi sesi 2017 dan memerlukan dana yang mencukupi untuk mengurus kebajikan mereka sepanjang berada di sini,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi pihak pengurusan Asrama Anak-anak Yatim Darul Falah 09-619 2667 atau  Sidek di talian 019-957 5667.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.