KUALA TERENGGANU - Kompleks Rawatan Harian (ACC) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) menukarkan laluan dua hala kepada satu hala bermula Khamis lalu, dengan melibatkan beberapa persimpangan bagi mengelak kekeliruan dan kesesakan lalu lintas di sekitarnya.

Perubahan laluan sehala melibatkan di hadapan, tepi dan belakang bangunan ACC, HSNZ serta perubahan jalan sehala di laluan hadapan bangunan forensik menuju ke bangunan ‘Engineering Plant’.

Pengarah HSNZ, Dr Nor Azimi Yunus berkata, perubahan itu bagi mengelak kekeliruan dan kesesakan lalu lintas serta pihaknya juga menasihatkan pengunjung yang berurusan di ACC menggunakan simpang masuk pintu D (berhampiran Masjid Al-Muktafi Billah Shah) dan pintu C (berhadapan Jabatan Pesakit Luar).

“Penukaran dari laluan dua hala kepada satu hala ini bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas dan memastikan keadaan laluan trafik di Kompleks Rawatan Harian (ACC), HSNZ berjalan dengan lancar,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, di sini.

Katanya, ia juga selari dengan prinsip Transformasi Terengganu Baharu (TTB) bagi memastikan keselesaan kepada rakyat Terengganu bagi mendapatkan perkhidmatan terbaik di HSNZ.

Sebarang pertanyaan serta cadangan berkaitan lalu lintas keluar dan masuk di ACC, HSNZ boleh menghubungi Ketua Unit Keselamatan HSNZ di talian: 09-6212121.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.