KUALA TERENGGANU - Pandangan segelintir masyarakat mengenai Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai kelas kedua tidak lagi berlaku apabila institusi itu membuktikan kejayaan demi kejayaan melalui pelajarnya, malah graduan mereka turut memenuhi keperluan industri semasa.

Timbalan Ketua Pengarah (Governan), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Malaysia, Mohamad Amin Hamat berkata, program dan kokurikulum yang dibuat di politeknik dan kolej komuniti di seluruh Malaysia selaras dengan kehendak industri.

Menurutnya, permohonan kemasukan ke dua pusat pengajian itu kini sentiasa meningkat dan ia menunjukkan kesedaran masyarakat sudah ‘lari’ berhubung pusat pengajian kelas kedua, kepada antara pilihan pertama mereka.

“Sekarang banyak permohonan ke sini (Politeknik dan kolej komuniti) di seluruh negara termasuk juga syarikat-syarikat yang yakin mengambil graduan kami untuk bekerja dengan syarikat mereka di luar sana.

“Graduan juga senang untuk membuat pilihan samada mahu menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi samada dalam atau luar negara kerana program di sini diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan semua orang bercakap mengenai ini (pilihan utama) sekarang,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen Ke-6 Politeknik Hulu Terengganu, di sini.

Hadir sama, Pengarah Politeknik Hulu Terengganu, Wan Mohd Hujjatullah Wan Ghazali.

Mohamad Amin berkata, jabatan itu berpegang kepada Falsafah Pendidikan Negara sebagai asas kepada pendidikan seimbang untuk membangunkan aspirasi pelajar seperti dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi) 2015-2025.

Katanya, jabatan turut memberi penekanan untuk menyeimbangkan antara ilmu dan juga akhlak yang sejajar dengan enam atribut Aspirasi Pelajar iaitu kerohanian,kemahiran memimpin, identiti nasional, kemahiran bahasa, kemahiran berfikir dan pengetahuan.

“Institusi ini turut membuka peluang kepada pelajar untuk menimba pengalaman yang luas tidak kira di peringkat kebangsaan malah antarabangsa.

“Sebagai contoh, Pasukan Politeknik Malaysia  membawa misi ‘Go For Gold’ dalam 23rd FIRA Roboworld Cup and Congress di Taiwan dengan mencipta satu kejayaan yang amat membanggakan dengan pungutan sembilan emas, tiga perak dan dua gangsa,” katanya.

Secara tidak langsung, persepsi terhadap TVET yang dahulunya sering dipandang sebagai kelas kedua kini telah berubah.