KUALA TERENGGANU - Jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat kepada 2,019 orang daripada 726 keluarga setakat pukul 10 malam ini berbanding 1,748 orang (663 keluarga) pada jam 4 petang semalam.

Lapan pusat pemindahan sementara (PPS) baharu kini dibuka di tujuh daerah menjadikan jumlah keseluruhan PPS yang beroperasi kepada 49 di seluruh negeri.

Mengikut laporan portal Info Banjir, Daerah Besut mencatat kenaikan jumlah mangsa mendadak iaitu 449 orang (154 keluarga) setelah tujuh PPS baharu dibuka menjadikan jumlah keseluruhan sembilan PPS beroperasi di daerah itu ketika ini.

Meskipun Daerah Hulu Terengganu merekodkan penurunan jumlah mangsa banjir iaitu 782 orang (361 keluarga) berbanding 820 orang (366 keluarga) sebelum ini namun ia kekal sebagai daerah paling ramai mangsa banjir dengan 18 PPS di daerah itu ketika ini.

Jumlah mangsa banjir di Setiu juga menurun kepada 365 orang (97 keluarga) berbanding 419 orang (109 keluarga) petang semalam.

"Di Marang pula, terdapat sedikit kenaikan iaitu 71 orang (23 keluarga) berbanding 64 orang (19 keluarga) setelah satu PPS baharu dibuka manakala di Dungun, seramai 159 orang (45 keluarga) berbanding 164 orang (45 keluarga).

"Di Kuala Nerus pula, terdapat 126 orang (32 keluarga) di dua PPS manakala Kuala Terengganu yang merupakan daerah terbaharu dilanda banjir menyaksikan 67 orang (14 keluarga) ditempatkan di dua PPS yang baru sahaja dibuka pada jam 7 dan 9 malam tadi (semalam)," menurut portal itu. - Bernama