KUALA TERENGGANU – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini melakukan penerbangan ihsan membawa seorang bayi berusia 31 hari dari Kuala Terengganu ke Pangkalan Udara Subang.

Bahagian Perhubungan Awam TUDM dalam satu kenyataan kepada media berkata, penerbangan itu bagi membolehkan bayi berkenaan mendapatkan ventilator dan rujukan pakar di Institut Jantung Negara (IJN).

Pesawat CN235 daripada Detasmen No 1 Skuadron yang beroperasi di Pangkalan Udara Subang itu berlepas dari Kuala Terengganu pada jam 8 pagi dan selamat mendapat di Pangkalan Udara Subang jam 9.10 pagi.

“Pesawat itu dikendalikan juruterbang, Kapten Emy Hazrie Nor Azmi dan Kapten Mohamed Hafizan Mos selaku pembantu juruterbang bersama lima anak kapal,” kata kenyataan itu hari ini.

Turut serta dalam penerbangan itu adalah ibu bayi berkenaan, Zulaiha Mohd Ghani dan dua pegawai perubatan iaitu Dr Muhammad Hafiz Lutfi Yahya serta Dr Teng Cheah Herng.

“Menjadi tanggungjawab TUDM memberi komitmen tinggi bagi memenuhi keperluan kebajikan masyarakat seperti ini. Kami doakan agar pesakit ini diberikan kesembuhan,” katanya.