KUALA NERUS - Seramai 17 petani di negeri ini mengambil bahagian dalam program penuaian pokok cili terbesar yang berlangsung serentak seluruh negara dan turut diiktiraf oleh  Malaysia Book of Records.

Program anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan 2017 yang akan berlangsung di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang itu menyasarkan penuaian satu juta pokok cili di seluruh negara.

Ketua Seksyen Hortikultur, Jabatan Pertanian Negeri Terengganu, Noaini Mamat berkata, secara keseluruhan sebanyak 31,267 pokok cili dituai secara serentak pada hari berkenaan.

Menurutnya, penyertaan seramai 17 peserta melibatkan seluruh daerah di negeri ini mengutip pelbagai jenis cili seperti kulai, solok dan sebagainya daripada 31,267 pokok berkenaan.

“Cili yang dituai ini merupakan yang sudah matang dan akan dibawa ke tapak ekspo (MAEPS) untuk pengiktirafan MBOR.

“Melalui program yang kita laksanakan ini diharap mampu menggalakkan lebih ramai petani menanam cili untuk tingkatkan pendapatan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika turut turun padang menyaksikan proses menuai hasil cili milik Che Wan Mohd Saidi Che Wan Sulong di Kampung Raja, di sini.

Noaini berkata, melalui projek yang dilaksanakan itu juga diharap mampu menggalakkan lebih ramai petani memilih untuk menanam cili berikutan pasaran harga hasil tani itu mendapat permintaan tinggi.

"Ketika ini, harga borong bagi sekilogram cili gred A di pasaran mencecah sehingga RM16," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUANTAN - Petani dan usahawan tani di negeri ini digalakkan menguruskan ladang dan kebun mereka dengan menggunakan Amalan Pertanian Yang Baik (APB) bagi mengatasi dan mengurangkan kenaikan kos dalam pengeluaran hasil tanaman.
  • BACHOK - Sebanyak RM356,780 insentif padi luar musim diagihkan kepada 138 petani yang mengusahakan bendang seluas 179 hektar dalam lima kawasan di Bachok.
  • TUMPAT - Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) memperuntukkan RM209,100 kepada 159 petani di Parlimen Tumpat bagi bantuan input pertanian dan peralatan kecil.
  • PADANG BESAR - Sebanyak 350 petani di Perlis menerima mesin dan peralatan tani bernilai RM3.5 juta di bawah Program Azam Tani (PAT) sejak ia diperkenalkan pada 2011.
  • ALOR SETAR - Enam petani terpaksa menanggung kerugian apabila sawah padi mereka di Kampung Alor Pak Ngah, Titi Haji Idris, di sini, tenggelam akibat banjir pada September lalu.