DUNGUN - Orang ramai khususnya ibu bapa dinasihatkan lebih berwaspada dan mengawasi pergerakan anak-anak sepanjang musim tengkujuh bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Terengganu, Che Adam A.Rahman berkata, sikap segelitir ibu bapa yang tidak peka dan membiarkan anak-anak  bermain di kawasan ditenggelami air boleh membawa kepada kejadian lemas atau sebagainya.

Menurutnya, hasil tinjauan dilakukan di sepanjang beberapa kawasan sungai dan tempat rendah yang mula dinaiki air mendapati kurangnya kawalan daripada ibu bapa.

"Mereka membiarkan anak-anak bermain air tanpa pengawasan. Keadaan ini boleh mengundang situasi bahaya.

"Jika sikap sebegini dibiarkan, ia akan membawa kepada situasi kemalangan seperti lemas atau kecederaan lain," katanya kepada media ketika melawat pusat pemindahan banjir Seberang Pintasan, kelmarin.

Beliau turut memberi amaran kepada orang ramai supaya menghentikan sementara aktiviti di air atau sungai.

"Aktiviti seperti memancing, menahan pukat dan program di sungai harus dielak ketika musim ini.

"Dibimbangi mereka terperangkap dengan pusaran air atau bahaya lain yang seterusnya menyebabkan kemalangan, " katanya.