KUALA TERENGGANU - Seorang suri rumah diberi tempoh sembilan hari bagi memberi jawapan ke atas tuntutan ganti rugi berjumlah RM720,000 oleh lima adik-beradik kepadanya kerana didapati melakukan penipuan harta pusaka arwah bapa mereka.

Keputusan dibuat di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, hari ini selepas Hanisah Mohd, 48, selaku defendan memohon agar memberi sedikit masa kepadanya bagi mempertimbangkan semula tuntutan berkenaan.

Defendan sebelum ini didapati menjual enam lot tanah pusaka milik kelima-lima beradik itu tanpa pengetahuan dengan cara menipu tandatangan tiga daripada mereka semasa proses jual beli tanah di Kemasik, Kemaman.

Jabatan Kimia turut mengesahkan kesemua tandatangan yang dibuat di setiap dokumen jualan tanah berkenaan adalah palsu.

Sebelum ini, Muhazian Mohd, 41, juga mewakili Mohd Kamal Mohd yang sudah meninggal dunia, Mohd Zainuddin Mohd, 34, Mohd Hairul Nizam Mohd, 29 dan Nor Azahar Mohd, 51, selaku plaintif, memfailkan pernyataan tuntutan berjumlah RM720,000 menerusi Tetuan Mohd Zubir Embong @ Associates.

Pernyataan difailkan pada 17 Januari lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu yang  mengandungi sembilan tuntutan itu mendapat persetujuan daripada Hakim Datuk Zainal Azman Ab.Aziz yang menghakimi tuntutan tersebut.

Dalam tuntutan tersebut, plaintif-plaintif turut menamakan Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian, selaku defendan kedua.

Mahkamah bersetuju dengan kesemua tuntutan dibuat antaranya melibatkan bayaran kerugian jualan tanah pusaka dan kos guaman semua plaintif.

Seterusnya, mahkamah menetapkan 25 April depan sebagai tarikh rekod penghakiman.