TASIK KENYIR - Kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) akan berganding bahu mencari formula terbaik bagi meningkatkan jaringan liputan telefon bimbit di Tasik Kenyir.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata, beberapa lokasi akan dikenal pasti bagi memasang menara, namun bergantung pada keperluan termasuk dalam kalangan pelancong yang mahu menghabiskan percutian mereka tanpa sebarang ‘gangguan’.

"Hasil lawatan ini, liputan telefon bimbit di kawasan tumpuan seperti Pos Kawalan Santuari Kelah di Sungai Petang adalah baik. Sebenarnya, ada dua konsep dilaksanakan iaitu demografi coverage serta population coverage dengan memfokuskan kawasan tumpuan saja.

“Buat masa ini, kita guna konsep population coverage dengan lokasi tumpuan seperti Pulau Bayas dan Sungai Petang. Kita sediakan menara di kawasan ini sebagai kemudahan komunikasi kepada pelancong.

“Mungkin ada beberapa tempat lain boleh difikirkan untuk pemasangan menara bagi tingkatkan jaringan liputan telefon bimbit, namun bergantung pada keperluan. Tentunya libat kos yang tinggi, apatah lagi perlu angkut barang-barang ke kawasan dalam tasik.

“Berhubung perkara ini juga, antara cabaran atau permasalahan dihadapi bagi pemasangan menara untuk tingkatkan liputan adalah ada pengunjung tidak begitu bersetuju kerana mereka ingin bercuti tanpa mahu diganggu. Elemen ini juga kita akan ambil kira,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu mengadakan lawatan ke Tasik Kenyir dan antara lokasi dilawati ialah Pulau Bayas, Santuari Kelah serta projek ternakan ikan air tawar dalam sangkar di Sungai Como.

Turut serta, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) Ketengah, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa serta Pengurus Pelancongan dan Pembangunan Tasik Kenyir, Mahdi Amin Ahmad.

Tambahnya yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu, kaedah terbaik akan dilaksanakan dengan mengambil kira banyak faktor, sekali gus memastikan bilangan pengunjung ke Tasik Kenyir terus meningkat yang secara tidak langsung merancakkan lagi sosioekonomi setempat.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PASIR MAS - Lebih 500 penduduk di Kampung Kolam, Chetok dekat sini, terpaksa menyimpan telefon pintar mereka berharga ratusan ringgit di bawah bantal gara-gara masalah liputan rangkaian selular di kawasan berkenaan berada pada tahap lemah.
  • BIDOR - Kesukaran untuk mendapatkan isyarat talian telefon di kalangan penduduk di kawasan Kampung Poh dan Kampung Poh Tambahan menyukarkan mereka untuk mendapatkan bantuan jika berlaku kejadian tidak diingini.
  • BALING - Kegiatan menjual telefon bimbit berjenama dipercayai tiruan pada harga lebih murah berbanding pasaran berjaya memperdaya ramai pengguna di daerah ini.
  • KUALA ROMPIN - Bermula dengan membuka kedai membaiki telefon bimbit yang menyasarkan pelanggan daripada kalangan penduduk kampung sahaja, kini mula berjinak-jinak sebagai ‘doktor telefon jalanan’.