DUNGUN - Keadaan dinding yang sudah usang dan mengalami banyak kerosakan membuatkan rumah yang didiami bekas tentera, Megat Nazudin Megat Hanapiah, 63, bersama keluarganya di Kampung Rajawali, Pulau Serai bukan sahaja tidak selesa, bahkan tidak selamat.

Rumah pusaka yang berusia lebih 70 tahun itu sudah beberapa kali dibaik pulih termasuk selepas sebahagian besar bumbung diterbangkan ribut.

Megat Nazudin berkata, selepas tamat perkhidmatan sebagai tentera tidak berpencen lebih kurang 30 tahun lalu, dia hanya membuat kerja-kerja kampung dan menjual sayur di pasar bersama isterinya, Hasnah Abd Rashid, 52.

Menurutnya, pendapatan yang ada cukup sekadar menyara kehidupan mereka sekeluarga termasuk membesarkan tujuh orang anak dan tidak mempunyai kewangan kukuh bagi membolehkan dia membina rumah baharu.

“Rumah ini peninggalan nenek isteri saya dan diwariskan kepadanya. Usianya dah lebih 70 tahun dan memang banyak yang dah rosak.

“Atap banyak bocor dan dinding reput dimakan anai-anai," katanya.

Megat Nazudin berkata, rumah itu pernah dilanda ribut menyebabkan 50 keping atap tercabut dan dibaik pulih semula tetapi faktor bangunan yang sudah terlalu lama menyebabkan ia tidak sempurna.

“Apabila dibaikpulih, rumah ini tetap rosak dan kalau nak bina baru memang kami tidak mampu.

“Dulu saya cari rezeki untuk sekolah anak-anak dan saya juga sebelum ini hidap penyakit Tibi serta tidak boleh melakukan kerja berat.

“Jika ada yang membantu memang kami gembira kerana dapat tinggal di kediaman yang selesa dan selamat,” katanya.

Dia ditemui ketika kunjungan Jabatan Hal Ehwao Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV) Kelantan Terengganu bersama Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Tidak Berpencen (PVTTB) Terengganu ke rumahnya di sini, baru-baru ini. Hadir sama, Setiausaha PVTTB Terengganu, Suhaini Donet.

Bantuan akan diproses

Pengarah JHEV ATM Cawangan Kelantan Terengganu, Mejar Muhd Aman Shah Alias berkata, berdasarkan pemerhatian di rumah keluarga berkenaan, tindakan membina rumah baharu lebih bersesuaian memandangkan keadaan rumah lama agak teruk dan usang.

“Permohonan untuk bina baru telah dibuat oleh bekas tentera ini dan kita sedang membuat siasatan sama ada peruntukan membina baharu atau baik pulih akan diambil.

“Berdasarkan siasatan dan tapak rumah sekarang di atas nama isteri pemohon, memang mereka layak untuk menerima bantuan bina baru," katanya.

Menurutnya, keadaan rumah pusaka itu memang agak teruk dan kayu mulai mereput serta tidak selamat untuk didiami lebih-lebih lagi untuk jangka masa panjang.

“Kita akan lihat peruntukan dan kelayakan serta akan berusaha membantu keluarga ini supaya mereka dapat menjalani kehidupan lebih selesa," katanya.

Tambahnya, JHEV memang mempunyai peruntukan khas untuk projek baik pulih dan bina baru rumah untuk bekas tentera khususnya mereka yang kurang berkemampuan.

“Jika diluluskan sebanyak RM50,000 akan digunakan untuk projek bina baru rumah keluarga ini dan jika baik pulih bantuan sebanyak RM10,000 akan disalurkan," katanya.

Katanya, pada 2016 sahaja sudah banyak bekas tentera yang dibantu khususnya untuk baik pulih lapan buah rumah di negeri ini.

“Pada 2017 JHEV merancang membaik pulih rumah veteran ATM sebanyak 20 unit untuk setiap daerah menerusi projek strategi lautan biru (Nbos 7).

“Kelayakannya, pemohon perlu mempunyai rumah yang dibina di atas tanah sendiri. Mana-mana ahli veteran tidak berpencen juga digalakkan untuk menjadi ahli persatuan supaya tidak berlaku keciciran dan untuk pertanyaan lanjut boleh hubungi talian 013-9853730 atau 09- 7470289,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PASIR MAS - Seorang pemuda menawarkan perkhidmatan kereta percuma untuk golongan kurang berkemampuan berulang alik ke hospital atau klinik bagi mendapatkan rawatan.
  • KOTA BHARU - Tiga beradik yang menjadi yatim piatu setelah ibu bapa mereka dibunuh November tahun lalu sehingga kini mendakwa belum menerima sebarang bantuan.
  • BACHOK - Sambutan Tahun Baharu Cina suram sejak beberapa tahun lalu apabila salah seorang ahli keluarga mereka terlantar akibat sakit tibi yang menyerang otak.
  • BACHOK - “Dahulu saya bersama suami, dua anak dan datuk tinggal dalam ‘kepok padi’ (stor tradisional menyimpan beras) yang hampir roboh, namun kini kami dapat tinggal di rumah baru yang selesa,” luah Suraya Rosli, 29.
  • BUKIT SELAMBAU - Enggan menyusahkan ramai pihak menyebabkan seorang ibu tunggal membina sendiri tempat berteduh untuk dia dan dua anaknya dengan bermodalkan RM300 walaupun tanpa kemudahan tandas, bekalan air dan elektrik sejak setahun lalu.