KUALA TERENGGANU – Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bertindak tegas kepada pemilik kenderaan yang menghalang laluan di Jalan Sultan Ismail dan Engku Embong Fatimah, dan tindakan kompaun serta menyita kenderaan mereka boleh dikenakan.

Ketua Bahagian Penguat Kuasa MBKT, Mohd Azmi Talib berkata, pihaknya juga tidak teragak-agak mengambil tindakan untuk mengunci roda kenderaan dan kesalahan bawah Seksyen 46 (1) boleh dikenakan kompaun RM250.

“Tindakan tegas bukan sahaja kepada pemilik kereta yang menghalang laluan, tetapi motosikal yang diparkir di hadapan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu, (PMINT) juga akan diambil tindakan yang sama.

“Dan kita juga tidak teragak-agak untuk menyita motosikal yang diletakkan di situ kerana menghalang laluan,” katanya.

Beliau berkata, MBKT terpaksa bertindak tegas bagi mengurangkan kesesakan di pusat bandar raya itu, malah tindakan kunci roda tayar kenderaan diambil bagi mendidik pengguna supaya memahami hasrat pihak berkuasa menyediakan aliran lalu lintas yang lebih sempurna.

“Selain parkir yang disediakan, kita juga ada laluan pejalan kaki. Kita harap konsep ini akan dikembangkan bagi menjadikan Kuala Terengganu bandar yang mampan, sejahtera dan dapat mengurangkan asap karbon di bandar kita.

“Kemudahan parkir juga bagi mengelak kejadian jenayah terutama bagi mereka yang meletak kenderaan di hadapan bank,” katanya.

Mohd Azmi berkata, sebahagian besar kompaun yang dikenakan bagi kesalahan parkir banyak dikeluarkan di laluan Jalan Sultan Ismail memandangkan ia adalah kawasan yang padat dengan kenderaan dan di tengah pusat bandar raya.

“Kesesakan di kawasan itu disebabkan pengguna meletakkan kenderaan di bahu jalan. Walaupun telah diletakkan garisan kuning, ia masih belum dipatuhi. MBKT komited bagi mengurangkan kesesakan di kawasan bandar ini,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • ALOR SETAR - Persatuan Bekas Kakitangan Imigresen Malaysia (PBKIM) menjelaskan bahawa program e-Kad sementara pekerja asing tidak gagal, cuma ada beberapa perkara yang masih memerlukan penambahbaikan.
  • MUAR - Kemeriahan beraya di desa pastinya lebih dirasai tatkala melangkah masuk ke Bandar Maharani, di sini, apabila lebih 100 biji pelita menerangi pinggiran jalannya.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.