KUALA TERENGGANU - Tindakan seorang remaja lelaki terjun dari tingkat dua sebuah apartment di Kemaman semata-mata mengelak dirinya dicekup akhirnya membawa padah.

Remaja berusia 18 tahun itu patah tangan dalam cubaannya melarikan diri bagi mengelak dicekup berkhalwat dengan pasangannya, dalam serbuan kira-kira jam 4 pagi, Jumaat lalu.

Mangsa yang dikejarkan ke Hospital Kemaman, antara 36 orang ditahan dipercayai terlibat dengan aktiviti tidak bermoral dengan menjadikan hotel dan bilik apartment di sekitar Kerteh untuk berasmara bersama pasangan.

Menurut sumber, semasa serbuan di lokasi, didapati beberapa bilik sudah disewa beberapa pasangan termasuk mangsa dan pasangannya.

Jelas sumber, sejurus pintu utama apartment dibuka, kesemua yang ada dalam bilik bertempiaran lari sehingga ada yang bertindak ganas cuba menumbuk anggota penguatkuasa.

“Malah, ada di antara mereka memberanikan diri dengan meniti di tepi koridor namun sempat ditangkap kecuali mangsa yang nekad terjun.

“Siasatan awal mendapati kumpulan remaja ini mengadakan satu parti liar sebagai mengisi aktiviti tidak bermoral di apartment ini semalam (Khamis),” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Kata sumber, siasatan juga mendapati kumpulan ini sebelum ini pernah mengadakan aktiviti tidak bermoral di apartment ini sehingga menimbulkan kekacauan dan mengganggu penghuni apartment lain.

“Kita juga dapati mereka ini memilih sebuah restoran makanan segera di Kerteh sebagai tempat berkumpul sebelum bergerak ke lokasi,” katanya.

Kesemua yang ditahan termasuk lapan remaja perempuan dibawa ke Pejabat Agama daerah Kemaman untuk tindakan selanjutnya dengan menaiki van jenazah yang dipinjam dari masjid berhampiran.

Sementara itu, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Wan Ismail Sahaimi Wan Omar ketika dihubungi mengesahkan penahanan kesemua remaja tersebut.

Katanya, mereka ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 31 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berkhalwat.