KUALA TERENGGANU - Kerajaan Pusat diminta untuk mempertimbangkan semula keputusan pembatalan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dilihat akan merugikan banyak pihak.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, banyak usaha telah dibuat dalam memastikan projek itu berjaya dilaksanakan.

Menurutnya, Kerajaan Terengganu penggal lepas dan sekarang banyak mempermudahkan urusan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) bagi menjayakan projek mega ini, terutamanya dalam urusan pengambilan tanah sepanjang laluan yang dicadangkan.

“Pihak Syarikat MRL juga telah mengadakan taklimat tentang progres projek ECRL kepada kepimpinan baru Kerajaan Negeri.

“Kita tahu ada Bukit Bauk (Dungun) yang telah ditebuk untuk dibina terowong, kelulusan pengambilan tanah telah diberikan oleh Kerajaan Negeri, depot telah dibina di beberapa lokasi serta pelbagai lagi kerja-kerja yang telah dibuat,” katanya.

Jelas Dr Azman, meskipun ada kontroversi daripada segi nilai projek yang terlalu tinggi, beliau berpendapat keputusan membatalkan terus projek itu adalah sangat merugikan, sama ada daripada segi implikasi kewangan untuk membayar ganti rugi kepada China dan kehilangan peluang pekerjaan.

Kerugian yang paling besar katanya, adalah menafikan tiga negeri pembangkang iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan untuk menikmati impak sosioekonomi yang besar daripada perlaksanaan projek itu.

“Masih belum terlambat untuk mempertimbangkan semula keputusan pembatalan ini. Tenaga pakar kita boleh dimanfaatkan untuk mencari jalan bagi pengurangan kos tapi bukannya keputusan pembatalan,” katanya.