KUALA TERENGGANU- Timbalan menteri dan ahli parlimen antara dua nama yang digugurkan daripada senarai calon BN Terengganu untuk bertanding dalam PRU14 kali ini.

Mereka yang digugurkan ialah Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari yang juga Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu dan Ahli Parlimen Setiu, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh.

Selain itu, tiga bekas Exco iaitu Datuk Rosol Wahid, Datuk Din Adam dan Datuk Mohamed Awang Tera yang sebelum ini 'direhatkan' pada PRU13 kembali membuat kemunculan semula apabila dipilih bertanding kali ini.

Rosol (atas, kiri), Din Adam, Mohamed Awang (bawah, kiri) dan Tengku Asmadi kembali bertanding.

Rosol akan bertanding di Parlimen Hulu Terengganu menggantikan Jailani manakala, Din bertanding bagi kerusi Parlimen Dungun dan Mohamed akan kembali bertanding di Dun Chukai.

Telahan ramai yang menjangkakan Adun Kijal, Datuk Seri Ahmad Said tidak akan dicalonkan kembali pada PRU14 kali ini nyata meleset apabila kembali mendapat kepercayaan parti untuk mempertahankan kerusi yang disandangnya.

Dua calon wanita turut bertanding kali ini, iaitu Ketua Wanita Umno Dungun, Datuk Zainun Abu Bakar, 65, bagi Dun Sura manakala Ketua Wanita Umno Bahagian Marang, Toh Puan Zaitun Mat Amin, 61, akan bertanding bagi kerusi Dun Bukit Payong.

Wan Nawawi kembali bertanding.

Kesemua 16 Adun BN dikekalkan untuk mempertahankan kerusi masing-masing, kecuali Adun Permaisuri, Datuk Mohd. Jidin Shafee yang beralih ke kerusi Parlimen Setiu manakala tempatnya digantikan dengan bekas Adun Permaisuri, Datuk Abd Halim Jusoh yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Beberapa nama baharu turut diperkenalkan antaranya pakar motivasi, Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohamad yang akan bertanding di kerusi Parlimen Kuala Nerus dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail di Parlimen Kuala Terengganu.

Selain itu, Datuk Basir Ismail (Tepoh), Che Mansor Salleh (Buluh Gading), Salleh Othman (Wakaf Mempelam), Toh Seng Cheng (Bandar), Datuk Mohd. Sabri Alwi (Ladang) dan Zamri Awang Hitam (Batu Burok).

Mohamad Nor Endot (Parlimen Marang), Datuk Saiful Bahri Baharuddin (Alor Limbat), Wan Zaulkifli Wan Gati (Rantau Abang) dan Tengku Hamzah Tengku Draman (Paka).

Tiga calon yang pernah bertanding dalam pilihan raya sebelum ini kembali dicalonkan iaitu Yusof Awang Hitam (Manir), Tuan Arif Sahibu Fadilah Tuan Ahmad (Bukit Tunggal) dan Datuk Nik Dir Nik Wan Ku (Rhu Rendang).