DUNGUN - Sekurang-kurangnya 44 terowong akan dibina dengan jarak sepanjang 39.1 kilometer untuk projek pembinaan laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Fasa 1 yang kini sedang giat dijalankan.

Ini termasuk tiga terowong di Terengganu yang pembinaannya sudah dilaksanakan bermula Januari 2018.

Ketua Pembinaan Infrastruktur Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Noor Azlan Salleh berkata, projek ECRL di Terengganu melibatkan tiga terowong sejauh 3.3 KM dan 60 buah jambatan serta jejambat merangkumi 52.1KM.

Beliau berkata, projek berimpak tinggi bakal siap sepenuhnya menjelang 2024 dan kerja-kerja pembinaan tiga terowong di Terengganu dijangka siap pada Ogos tahun hadapan.

“Jumlah kerja-kerja tanah dan persiapan melibatkan jajaran sepanjang 176 KM di negeri ini.

“Stesen -stesen jajaran ECRL di Terengganu melibatkan kampung Raja, Telaga Papan, Kuala Terengganu, Pengkalan Berangan, Dungun, Kemasik dan Chukai.

“Lapan stesen yang akan dibina di Terengganu ialah empat stesen penumpang, tiga stesen gabungan penumpang dan kargo,” katanya ketika lawatan media ke kem induk ECRL di sini, semalam.

Beliau berkata, pembinaan ECRL Fasa 1 terbahagi kepada lapan seksyen dan tiga seksyen adalah di Terengganu.

“Seksyen satu dan dua adalah dari Kota Bharu ke Gombak, Selangor, manakala seksyen 3,4,5 dari Setiu ke Marang, Kemaman serta seterusnya ke Kuantan.

“Projek tiga terowong di negeri ini termasuk di Bukit Bauk sudah selesai kerja awal bermula dua bulan lalu dan dijangkakan akan mengambil tempoh selama 400 hari untuk disiapkan.

“Jika tiada halangan, kesemua tiga terowong ini akan siap menjelang Ogos 2019,” katanya kepada media.