TERENGGANU – Tiga projek perkedaian milik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di bandaraya ini bakal beroperasi awal bulan depan.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Mohd Zulkifli Abu Bakar berkata, projek melibatkan peruntukan RM5.8 juta itu adalah Medan ICT MBKT bersebelahan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) yang mempunyai 19 ruang niaga, Bazar Kuih Tradisional di Gong Kapas (9 ruang niaga) dan Medan Selera Batu Buruk II (13 ruang niaga).

Menurutnya, projek itu mula dibina pertengahan tahun lalu dan sekarang dalam proses penyerahan surat tawaran dan serahan kunci kepada 43 penyewa.

“Sebaik selesai semua kerja pembersihan di kawasan-kawasan perniagaan ini, baru mereka (penyewa) dibenarkan berniaga pada awal Februari depan.

“Semua penyewa adalah peniaga jalanan yang sebelum ini berniaga di tepi Pusat Akuatik Batu Buruk, lorong HSNZ dan peniaga asal di tapak jualan gerai kuih tradisional Gong Kapas,” katanya yang mengiringi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman meninjau projek-projek MBKT di sekitar bandaraya di sini, semalam.

Mohd Zulkifli berkata, usaha kerajaan negeri membina lot perkedaian itu supaya menampakkan pusat bandar Kuala Terengganu lebih tersusun dan bersih.

“Sebolehnya, kami (MBKT) tidak mahu lagi melihat kewujudan lot kedai tanpa permit dan peniaga jalanan tanpa lesen.

“Saya juga mahu peniaga mengamalkan sikap mesra pelanggan dan memberi layanan terbaik dan menetapkan harga bersesuaian,” katanya.

Peniaga di tiga projek perkedaian berkenaan turut dibekalkan apron yang menggunakan logo Visit Beautiful Terengganu (VBT) 2017 supaya nampak lebih ceria dan mesra bagi menyambut pelanggan dan pengunjung sempena VBT,”katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu menyokong sepenuhnya usaha Kelantan dalam meluluskan pindaan Rang Undang-Undang Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (pindaan 2017) yang diputuskan dalam sidang Dun Kelantan, semalam.
  • KUALA TERENGGANU - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) diminta segera membaik pulih kerosakan benteng atau pagar di Taman Rekreasi Waterfront Pulau Kambing yang terjejas teruk akibat hakisan di kawasan tersebut.