KUALA TERENGGANU - Tiga kes jenayah termasuk kecurian motosikal, penyalahgunaan dadah dan penahanan warga asing tanpa dokumen sah diselesaikan hanya dalam tempoh dua minggu, sempena  ‘Ops Harapan’ yang bermula pada 1 Julai lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, di Kuala Terengganu, seramai 100 anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Gong Badak, Kuala Nerus, terlibat dalam penugasan baharu menerusi ‘Ops Harapan’ yang dilancarkan di seluruh negara.

Beliau berkata, anggota terlibat ditempatkan di enam lokasi tumpuan orang ramai termasuk di Hentian bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), sekitar kawasan hotel, bangunan UTC Paya Bunga Square, kawasan Pantai Batu Burok, Dataran Austin Wakaf Tembesu dan pasaraya Giant di Gong Badak, Kuala Nerus.

“Hasil daripada ‘Ops Harapan’ ini, pada 9 Julai lalu, sebuah motosikal yang dilaporkan hilang di Kota Bharu, Kelantan, ditemui dalam keadaan baik di tempat parkir motosikal di Hentian Bas MBKT, di sini.

“Penemuan motosikal jenis Modenas Kriss itu sekaligus berjaya menyelesaikan kes mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan yang dilaporkan pada 15 Mei lalu,” katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Surat Penghargaan kepada 23 anggota terlibat sempena kejayaan Ops Harapan di Dewan Integriti Ibu Pejabat Polis Daerah ( IPD) Kuala Terengganu, di sini, hari ini.

Jelas Suffian, kejayaan kedua dicatatkan apabila anggota terlibat berjaya menahan dua lelaki warga Kemboja di Jalan Kampung Bukit, Chendering, di sini, pada 14 Julai lalu.

“Kedua-dua warga Kemboja berusia 25 tahun itu ditahan ketika sedang menunggang motosikal dan pemeriksaan mendapati mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen sah.

“Siasatan awal mendapati motosikal ditunggangi mereka dipinjam daripada rakan yang juga rakyat tempatan dan seterusnya mereka diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Suffian berkata, sempena ‘Ops Harapan’ juga, sebanyak enam kes melibatkan penyalahgunaan dadah diselesaikan.

“Kita berjaya menahan enam lelaki tempatan dipercayai terlibat dalam penyalahgunaan dadah jenis ganja dan syabu di sekitar daerah ini.

“Mereka yang berusia 28 hingga 35 tahun itu ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Ops Harapan dilancarkan di seluruh negara bagi menjaga ketenteraman awam sekali gus mencegah berlakunya jenayah.

Ops Harapan bukan sahaja untuk memberi keyakinan kepada orang ramai, malah bagi menunjukkan kehadiran pihak polis di lokasi tumpuan seterusnya mampu mencegah berlakunya sebarang bentuk jenayah.