MARANG - Kerajaan Terengganu dengan kerjasama pelbagai agensi bersedia membantu sekolah-sekolah pondok dan pusat tahfiz swasta di negeri itu demi memastikan keselamatan pelajar terjamin.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan negeri, A Latiff Awang berkata, kerajaan serius untuk membantu dalam permasalahan dihadapi institusi pendidikan agama itu.

"Kita tidak mahu jadi 'bangau oh bangau' bila berlaku (kemalangan) kita salahkan (orang lain). Sebagai kerajaan (negeri) kita bersedia membantu dan minta pihak terbabit dapat memberikan kerjasama," katanya.

Beliau berkata, kerajaan di peringkat negeri dan pusat bersedia membantu melalui peruntukan dan penyelengaraan yang sepatutnya demi menjamin keselamatan pelajar-pelajar di sekolah pondok dan tahfiz.

Menurutnya, kerajaan Terengganu turut menginsafi kes kebakaran meragut nyawa agak besar berlaku dalam kejadian di Pusat Tahfiz Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Hujung, Selangor sebelum ini.

"Sebagai Exco pendidikan, saya telah berbincang dengan.....di peringkat Jabatan Pendidikan (dan) dengan pihak berkenaan (agensi keselamatan) di negeri Terengganu.

"Juga kita beri mandat kepada agensi JKR dan sebagainya supaya membuat pemantauan dan membantu pihak pengurusan pondok dan pusat tahfiz yang ada di Terengganu.

"Kita tidak mahu kejadian tidak diingini berlaku sebab hari ini terlalu banyak pusat tahfiz dan pondok terutama swasta, mungkin ada premis tidak mengikut spesifikasi," katanya juga Ketua Umno Bahagian Marang, hari ini.

Sebelum itu, beliau menyertai Program Baik Pulih Rumah dijalankan secara gotong royong bersama penduduk dan anggota agensi keselamatan di Marang di Kampung Jenang, di sini.

Disamping itu, beliau turut memaklumkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu juga sentiasa memantau perkembangan pusat-pusat tahfiz swasta yang terdapat di negeri itu dari masa ke masa.

"Dan kita minta pihak pengurusan pusat tahfiz terbabit agar mendaftar di bawah Kementerian (Bahagian Pendidikan Swasta) bagi memudahkan kerajaan untuk menyalurkan bantuan yang sewajarnya," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KLUANG - Kehidupan seorang ibu tunggal dua anak berubah selepas kematian suaminya sehinggakan terpaksa tinggal di sebuah pondok dua bilik yang hanya diasingkan dengan kotak di Kampung India Chamek di Paloh, dekat sini, sejak enam tahun lalu.
  • KUANTAN - Seorang warga emas bersama dua anak, menantu serta tiga cucu terpaksa berteduh dalam sebuah pondok di atas tanah rezab sungai, berdekatan kilang papan Batu 8 Jalan Gambang sejak hampir dua bulan lalu.
  • BATU KURAU - Penantian seorang ibu tunggal untuk mendapatkan kediaman lebih selesa menjadi realiti apabila mendapat bantuan pembinaan rumah baharu.
  • SEREMBAN - Sekali pandang, ia hanya sebuah pondok untuk perniagaan membaiki kasut. Namun, mungkin ramai tidak tahu, pondok buruk yang terletak di tepi jalan di Taman Sri Mawar, di sini, merupakan tempat berteduh bagi seorang lelaki.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.