KUALA TERENGGANU – Tiada istilah ‘stand down’ bagi skuad Sukarelawan TTB walaupun banjir di lapan daerah di negeri ini dilaporkan pulih sepenuhnya sejak 9 Januari lalu.

Koordinatornya, Mohd Johari Abu Bakar berkata, pihaknya masih dalam keadaan berhati-hati bagi menghadapi kemungkinan gelombang banjir yang mungkin boleh berlaku pada bila-bila masa.

Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya tetap melaksanakan kerja-kerja turun padang dengan mengerahkan kira-kira 2,000 tenaga bagi memberi tumpuan terhadap fasa pemulihan ketika ini.

“Kita masih dalam keadaan siap siaga untuk hadapi gelombang seterusnya jika ada tetapi kita harap gelombang itu sudah pun berakhir. Untuk kerja-kerja pembersihan, kita sudah mula sejak 31 Disember lalu,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Menurutnya, tumpuan pihaknya lebih memfokuskan kepada premis awam dan kepentingan umum seperti sekolah dan tadika manakala premis persendirian menumpukan kepada golongan memerlukan seperti rumah warga emas dan ibu tunggal.

Pihaknya telah laksanakan kerja pembersihan di Sekolah Kebangsaan Gemuroh, Sekolah Kebangsaan Bukit Guntong dan sekitar Kampung Telari dan Kuala Belara.

Kerja-kerja pembersihan tersebut turut melibatkan kerjasama dengan agensi dan pihak lain seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM), Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Agensi Transformasi Rakyat Terengganu (Atra), Askar Wataniah, penduduk kampung dan pelajar Universiti Malaysia Terengganu.

Mohd Johari yang juga Ketua Pemuda Umno Terengganu turut berkata, pihaknya juga akan membantu sekiranya ada permintaan daripada mana-mana pihak.

“Kita masih lagi tunggu jika ada permintaan  terutama rumah-rumah yang perlu dibersihkan dan pihak tersebut boleh maklumkan kepada pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan masing-masing,” katanya.

Dalam masa sama, pihaknya turut mengucapkan terima kasih kepada agensi yang turut melancarkan tugas membantu mangsa banjir seperti APM, tentera, bomba, polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat, pihak berkuasa tempatan dan sebagainya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • TANAH MERAH - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah ini memulakan persediaan menghadapi musim tengkujuh tahun ini dengan mengadakan perjumpaan bersama jawatankuasa pusat pemindahan di sini, kelmarin.
  • KOTA KINABALU - Banjir di Kota Belud semakin buruk dengan jumlah mangsa meningkat kepada 268 orang malam ini, berbanding 180 mangsa petang tadi.
  • KOTA KINABALU - Banjir di Kota Belud semakin buruk dengan jumlah mangsa meningkat kepada 180 orang di sebelah petang berbanding 144 orang di sebelah pagi.
  • KOTA KINABALU - Hujan lebat sejak petang tadi mengakibatkan banjir di lima kampung di Kota Belud, menyebabkan 119 mangsa daripada 36 keluarga terpaksa dipindahkan.
  • KOTA KINABALU - Hujan lebat sejak petang tadi mengakibatkan banjir di dua kampung di Kota Belud, menyebabkan 29 mangsa daripada 11 keluarga terpaksa dipindahkan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.