KEMAMAN - Prihatin akan keluhan rakyat, kerajaan negeri meneruskan kesinambungan perkhidmatan bas percuma di daerah ini dengan melancarkan perkhidmatan Bas Kite.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, perkhidmatan bas bandar tanpa kutipan tambang itu bagi meneruskan perkhidmatan 'Kemaman Shuttle' yang dihentikan pada Mei lalu.

"Sebelum PRU14 pada Mei lalu, ramai yang guna khidmat bas percuma tapi apabila ia terhenti ramai yang terkesan.

"Atas keprihatinan Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang merasai penderitaan dan kesusahan rakyat, bas percuma ini disediakan semula kepada rakyat di Dun Chukai," katanya.

Hanafiah yang juga Adun Chukai berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan pengoperasian Bas Kite di pekarangan Pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) Kemaman, di sini.

Perkhidmatan bas 'Kemaman Shuttle' diperkenalkan bekas Ahli Parlimen Kemaman dari BN, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pada 1 November 2017 sebelum ia dihentikan pada 10 Mei lalu selepas BN mengalami kekalahan di Parlimen Kemaman.

Inisiatif memperkenalkan 'Kemaman Shuttle' itu bagi meringankan beban kos pengangkutan penduduk untuk berulang-alik ke bandar.

Hanafiah berkata, untuk fasa pertama sebuah Bas Kite disediakan untuk kemudahan rakyat di Dun Chukai yang kos operasinya dianggarkan menelan belanja RM260,000 setahun meliputi kos bahan api, penyelenggaraan dan gaji kakitangan.

Kata beliau, bas percuma itu diperkenalkan hasil kolaborasi kerajaan negeri bersama Cas Ligas Sdn Bhd sebagai satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan.

Tambah Hanafiah, bas itu beroperasi bemula jam 8 pagi hingga 7 malam setiap hari melibatkan laluan Stesen Bas Chukai, Kuala Kemaman,  Paya Berenjut, Mak Lagam dan Binjai, sebelum kembali semula ke stesen bas berkenaan.

"Dengan pelancaran ini, Kemaman jadi daerah pertama di negeri ini merasai perkhidmatan bas percuma di bawah kerajaan Pas sekarang.

"Kerajaan negeri juga merancang untuk memperluaskan perkhidmatan bas ini melibatkan laluan Binjai ke Mak Chili di Dun Air Putih tetapi ia masih di peringkat rundingan kerana untuk memperluaskan ke laluan itu memerlukan sebuah lagi bas," katanya.

Kata beliau, jika mempunyai peruntukan perkhidmatan bas itu bukan sahaja akan terus diperluaskan ke Dun lain di Kemaman malah ia juga dikembangkan ke seluruh daerah lain di Terengganu.

Sempena pelancaran itu, Hanafiah bersama Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid dan Pengerusi Cas Ligas Sdn Bhd, Zakaria Dagang turut merasai pengalaman menaiki Bas Kite yang melalui setiap hentian yang telah ditetapkan.

Bas Kite yang memilki keunikan reka bentuk tersendiri boleh memuatkan 40 penumpang pada satu-satu masa.