KEMAMAN - Kerajaan negeri akan mempertimbang untuk meneruskan perkhidmatan bas henti-henti percuma di negeri ini termasuk di Kemaman demi menjaga kebajikan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, perkhidmatan bas itu yang beroperasi semasa kerajaan negeri diperintah kerajaan BN akan diteruskan sekiranya kerajaan pusat bersetuju memberikan wang royalti petroleum (minyak) seperti mana yang dijanjikan sebelum ini.

Katanya yang juga Adun Cukai, ketika ini sumber kewangan kerajaan negeri adalah terhad untuk meneruskan khidmat bas percuma tersebut kerana ia akan menelan kos yang tinggi.

“Insya-ALLAH kalau dapat duit itu (royalti) perkhidmatan bas henti-henti akan diteruskan untuk rakyat. Bukan sahaja diteruskan di Kemaman malah di seluruh Terengganu.

“Kami mengharapkan hubungan dengan kerajaan persekutuan adalah baik dan kami juga akan memberikan kerjasama sepenuhnya,” katanya.

Hanafiah berkata demikian mengulas mengenai perkhidmatan bas henti-henti percuma dikenali sebagai ‘Kemaman Shuttle’ yang diperkenalkan Ahli Parlimen Kemaman penggal sebelum ini, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pada November tahun lalu.

Bagaimanapun, perkhidmatan bas bandar itu yang beroperasi di bawah Pejabat Ahli Parlimen BN itu tidak lagi beroperasi selepas BN dan Umno mengalami kekalahan pada PRU14, 9 Mei lalu dan tampuk pemerintahan negeri diambil alih Pas.

Menerusi perkhidmatan bas bandar itu yang juga popular dipanggil bas ‘Shabery Cheek, sebanyak dua buah bas diguna pakai untuk mengambil dan menurunkan penumpang di laluan bermula dari Kuala Kemaman hingga ke bandar Cukai.

Selain di Kemaman, kerajaan negeri BN juga memperkenalkan perkhidmatan bas elektrik antara bandar meliputi beberapa daerah iaitu di Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang dan Hulu Terengganu.