KAMPUNG KUA - Kerana kegagalan buah pinggang berfungsi, kehidupan ibu kepada 11 anak kini berubah dan tidak lagi mampu melakukan kerja rumah selain perlu menjalani rawatan peritoneal dialisis (PD) empat kali sehari. 

Rahmah Abd Rashid, 47, berkata, masalah kesihatan dialaminya sejak tiga tahun lalu turut memaksanya terbaring atas tilam dan hanya mengharapkan suami, Kadir Awang, 52, menguruskan rumah tangga dengan dibantu anak-anak. 

Menurutnya, sebelum ini dia membuka kedai makan berhampiran Hospital Hulu Terengganu (HHT).

"Sekarang saya lalui rutin harian dengan jalani rawatan PD pada jam 7 pagi, 12 tengahari, 5 petang dan 10 malam.

"Selain anak-anak dan suami, adik saya Hadijah, 44, yang tinggal dekat rumah kami juga selalu datang bantu," katanya.

Rahmah berkata, ketika melakukan rawatan ini, segala perkakas perlu dijaga dengan baik dan perlu sentiasa dipastikan bersih agar tidak dijangkiti kuman. 

"Sebulan sekali pula, saya akan dibawa oleh anak ke HHT untuk dapatkan rawatan selanjutnya," katanya ketika menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-tugas Khas negeri merangkap Adun Ajil, Ghazali Taib.

Pada kunjungan tersebut, Ghazali turut menyampaikan cek bernilai RM1,800 daripada Tabung Darul Iman (TDI) bagi meringankan beban apatah lagi suaminya hanya bekerja sebagai penoreh getah dengan pendapatan kira-kira RM150 seminggu.

"Kalau hujan, suami tak dapat keluar cari rezeki. Syukur ada bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan. Hari ini (kelmarin) pula dapat sumbangan TDI," katanya. 

Sementara itu, Ghazali berkata, seramai 20 pesakit kronik dalam Dun berkenaan menerima cek bantuan daripada TDI kelmarin melibatkan sejumlah RM12,700 dan ia diharapkan dapat meringankan beban penerima sekeluarga.

Menurutnya, pihaknya juga akan sentiasa mengambil berat masalah mana-mana individu dikategorikan sebagai pesakit kronik termasuk memastikan golongan berkenaan mendapat apa yang begitu diperlukan seperti keperluan rawatan, bantuan perubatan ataupun rumah sendiri.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA BHARU - Nasib bayi yang menderita mempunyai lebihan air dalam kepala, Nur Qhayla Rania Mohammad Firdaus, tujuh bulan telah mendapat simpati Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik).
  • SEGAMAT - Orang ramai dinasihatkan membuang perasaan malu bagi mendapatkan rawatan awal sekiranya mengalami masalah kemurungan atau tekanan mental berikutan peningkatan bilangan pesakit itu setiap tahun.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.