KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri merakamkan penghargaan kepada Kelantan atas sumbangan bencana ribut yang melanda beberapa kawasan negeri ini Isnin lalu.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bantuan ini diharap dapat mengeratkan lagi kerjasama jitu antara dua kerajaan pada masa akan datang.

"Kepada semua mangsa yang terlibat, diharap bersabar dan tabah dengan ujian ini.

"Kerajaan negeri sentiasa prihatin dan akan membantu melalui Adun, MPKK dan agensi yang terlibat untuk meringankan beban mangsa dengan secepat yang mungkin," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sumbangan sebanyak RM50,000 itu diserahkan Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Tuan Saripuddin Tuan Ismail kepada Exco Kerajaan Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah yang mewakili Menteri Besar di Wisma Darul Iman, petang tadi.

Semalam, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad bin Yakob dalam satu kenyataan bersetuju menyumbangkan RM50,000 kepada Terengganu bagi membantu mangsa ribut.

Lebih 1,800 buah rumah dan 35 buah sekolah di daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus dilaporkan terjejas akibat ribut berkenaan.