KUALA TERENGGANU – Penantian selama tujuh tahun untuk menimang cahaya mata akhirnya dimakbulkan malah lebih bermakna apabila bayi sulung pasangan pendidik ini dilahirkan pada hari kelahiran Nabi Muhammad SAW.

Guru Bahasa Arab Sekolah Kebangsaan Tempinis, Besut, Iliza Suriana Refin, 35, berkata, bayi perempuan yang dilahirkan secara normal pada jam 7.05 petang Isnin itu adalah bayi pertama yang dilahirkan di Terengganu pada hari Maulidur Rasul.

Iliza tidak pernah menduga bayi seberat 2.34 kilogram itu akan lahir pada hari sama kelahiran Nabi Muhammad SAW kerana sepatutnya lagi dua minggu adalah hari jangkaan dia akan bersalin.

“Memang saya tak sangka bayi perempuan ini akan menjadi bayi Maulidur Rasul setelah tujuh tahun berkahwin dengan suami, A Mazlam Ibrahim, 52.

"Sudah ditakdirkan rezeki kami berdua untuk memiliki bayi perempuan ini pada hari ini (Maulidur Rasul).

“Sebelum ini sudah banyak ikhtiar dilakukan samada secara moden dan tradisional untuk mendapatkan bayi sendiri.

"Tetapi berkat kesabaran kami dan sokongan keluarga yang lain, akhirnya saya selamat melahirkan dan menganggap ini adalah hadiah yang berganda-ganda ALLAH SWT beri kepada kami," katanya yang ditemui pada Program Permata Maulidur Rasul sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu di Pusat Rawatan Ibu dan Bayi, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), petang ini.

Iliza juga berkata, dia rasa bertuah apabila kelahiran bayi sulung itu mendapat liputan media sehinggakan Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mohktar dan juga isteri, Tuan Faizah Tuan Abd Rahman serta ramai lagi yang datang meraikan kelahiran bayi-bayi Maulidur Rasul di hospital berkenaan.

“Saya berharap bayi ini akan menjadi anak yang terbaik seperti mana harapan dan impian ibu bapa lain kepada anak-anak mereka,” katanya.