HULU TERENGGANU - Kerajaan negeri dan seluruh rakyat Terengganu melahirkan ucapan takziah dan rasa dukacita dengan kejadian kebakaran menimpa Pusat Tahfiz Darul Ittifaqah, Jalan Keramat Ujung, Kuala Lumpur yang berlaku pagi tadi hingga mengorbankan 23 mangsa melibatkan pelajar dan warden.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, seluruh ahli keluarga mangsa yang terbabit dan pihak yang berkaitan juga diharapkan bersabar serta tabah atas kejadian berkenaan.

"Kita turut bersedih atas kejadian yang berlaku dan perkara ini juga begitu mengejutkan. Mewakili rakyat dan negeri Terengganu, kita lahirkan ucapan takziah, diharapkan semua yang terlibat terutamanya ahli keluarga dapat bersabar.

"Sebalik itu juga, kejadian ini perlu diambil iktibar atau pengajaran. Jadi, kerajaan negeri minta pihak-pihak bertanggungjawab di negeri ini lakukan pemantauan sewajarnya ke atas semua bangunan sekolah di negeri ini sama ada milik kerajaan, swasta mahupun persendirian," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bagi menzahirkan ucapan takziah dan dukacita  berhubung tragedi kebakaran yang mengorbankan 25 nyawa melibatkan pelajar serta warden Pusat Tahfiz Darul Ittifaqah, Jalan Keramat Ujung, Kuala Lumpur.

Beliau berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Majlis Perbandaran, Majlis Daerah dan pihak berwajib yang berkaitan diminta pastikan bangunan-bangunan yang menempatkan  pelajar termasuk pusat-pusat tuisyen berada dalam keadaan selamat.

"Buat pemeriksaan seluruh bangunan, kita akan kuatkuasakan perkara ini dan pastikan segalanya ikut peraturan atau undang-undang. Kita pohon di Terengganu ini khususnya, pemantauan teliti dibuat agar tragedi seperti ini tidak berulang," katanya.

Terdahulu, Ahmad Razif menyempurnakan perasmian Festival Kenyir 2017, di Pengkalan Gawi, di sini, dengan diiringi Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Omar Ismail.

Sementara itu, Festival Kenyir 2017 berlangsung selama empat hari bermula 14 September dengan menawarkan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung seperti heli ride, malam kesenian Islam, bintang Kenyir, fun ride Kenyir, auto show fest Kenyir 2017 serta pertandingan rumah bot berhias.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA NERUS - Kerajaan negeri mewajibkan semua kakitangan awam, pegawai syarikat berkait kerajaan (GLC) dan pengerusi JKKK di seluruh negeri mendaftar sebagai sahabat Revolusi Anti Rasuah (Gerah).
  • KUALA LUMPUR - Kerajaan Negeri Terengganu telah membuat pindaan terhadap dasar Tanah negeri itu bagi menyeragamkan tempoh pajakan tanah kediaman dan perniagaan kepada 99 tahun berbanding 30 tahun dan 60 tahun sebelum ini.
  • KUALA NERUS - Kerajaan Negeri Terengganu menyeragamkan tempoh pajakan tanah kediaman dan perniagaan kepada 99 tahun berbanding 30 tahun dan 60 tahun sebelum ini.
  • KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri menafikan dakwaan pembangkang bahawa Skim Khas Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Tapak Rumah 2017 yang dijanjikan kepada mereka yang layak hanyalah sekadar janji sempena PRU14.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.