KUALA TERENGGANU - Terengganu bersedia menawarkan tempat kepada mana-mana anak Palestin yang berhasrat menyambung pengajian mereka di institusi pendidikan di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kerajaan negeri menyerahkan kepada badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Humanitarian Care Malaysia (MyCare) untuk menguruskan perkara itu sebagai pemudah cara, dalam merealisasikan inisiatif Terengganu bagi membantu rakyat Islam di sana.

“Kita tidak ada masalah kalau anak-anak Palestin mahu bersekolah di sini kerana Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Terengganu ada bahasa Arab dan begitu juga dengan Kolej al- Quran Terengganu (KQT).

“Selain itu, Terengganu akan membuat rundingan dan perbincangan lanjut dengan MyCare mengenai sumbangan atau bantuan lain yang boleh dihulurkan kepada NGO ini dalam membantu rakyat Palestin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditmui pada sMalam Puisi Palestin di Taman Tamadun Islam di sini, malam tadi.

Hadir sama, Yang Dipertua Dun, Datuk Mohd Zubir Embong; Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCare), Kamarul Zaman Shaharul Anwar dan Imam jemputan Palestin, Imam Ziad M. M. Shehada.

Mengulas lanjut, Ahmad Razif berkata, sekiranya ada keperluan untuk mengambil anak angkat warga Palestin, kerajaan negeri amat mengalu-alukan usaha tersebut.

Terdahulu, beliau mendeklamasikan puisi bertajuk ‘Jeritan Palestin’ di samping melancarkan Tabung Bantuan Palestin.

Dalam majlis tersebut, kerajaan negeri turut memberikan sumbangan bernilai RM500,000 kepada MyCare.

Selain itu, bulan Ogos bakal dijadikan sebagai bulan memperingati Masjid Al-Aqsa peringkat negeri Terengganu.

Ahmad Razif  berkata, pemilihan Ogos merupakan simbolik kepada kebakaran yang menimpa masjid di Palestin itu pada bulan sama tahun 1969, hampir 50 tahun lalu.

Katanya, langkah memperingati kejadian menyayat hati itu diyakini dapat membangkitkan semangat rakyat negeri ini untuk bersama-sama berjihad membantu nasib saudara Islam di sana.

Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, pihaknya bersyukur dengan tawaran peluang pendidikan serta inisiatif anak angkat yang diberikan Terengganu bagi menjamin kelangsungan masa depan anak-anak mangsa kekejaman Zionis.

“Kebiasaannya ibu bapa anak Palestin sukar melepaskan anak mereka bagi dijadikan anak angkat justeru saya melihat, peluang pendidikan itu mungkin dapat dibuka kepada anak-anak Syria misalnya,” katanya.

Katanya, terdapat lebih 5,000 orang Palestin menetap di Malaysia ketika ini.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu akan menghantar permohonan kepada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) untuk mengiktiraf keunikan budaya dan warisan masyarakat Cina di negeri itu khususnya di Kampung Cina.
  • SEBERANG TAKIR - Pemasangan semula bumbung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, di sini, akan dilaksanakan segera sebaik proses memperkukuhkan struktur asal bangunan selesai sepenuhnya nanti.
  • KUALA NERUS - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman meminta rakyat menilai sendiri tuntutan tidak masuk akal berjumlah RM20 juta yang dibuat Wan Mansor Wan Yusof, 57, sebagai pampasan untuk merobohkan kediaman yang masih didudukinya di Kampung Tanjung, Kuala Terengganu.
  • KUALA TERENGGANU - Prihatin dengan nasib yang menimpa penduduk Palestin, Kerajaan Negeri menubuhkan tabung bagi membantu pembangunan semula bandar Palestin dan hospital di negara itu.
  • GONG BADAK - Kerajaan negeri memberi kata dua kepada pembekal bas amfibia sama ada menghantar bas berkenaan ke Terengganu selewatnya hujung bulan ini atau bakal berdepan tindakan saman.