KUALA TERENGGANU – Semua masjid di negeri ini diarahkan mengadakan solat hajat Jumaat ini bagi mendoakan kesejahteraan dan keselamatan masyarakat Islam (Rohingya) yang menjadi mangsa penindasan tentera Myanmar.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, usaha itu sebagai tanda keprihatinan masyarakat negeri ini terhadap kesengsaraan yang dialami saudara seagama di negara itu.

“Jumaat ini semua masjid di Terengganu diarah mengadakan solat hajat bagi memohon kesejahteraan dan keselamatan kesemua mereka yang ditindas.

“Selain solat hajat kerajaan negeri juga akan melancarkan tabung khas Rohingya dalam masa terdekat untuk mengumpul dana bantuan untuk disalurkan kepada pelarian yang kini sedang ditindas dan berada dalam kesusahan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Diri Pelajar Tajaan Yayasan Terengganu Program Berkembar ke United Kingdom (UK) dan biasiswa Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin (Program Saintis Islam) dan di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Ahmad Razif berkata, tabung bantuan khas itu akan diuruskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri Datuk Rozi Mamat.

“Kita melantik Datuk Rozi bagi menguruskan pelancaran tabung berkenaan. Selain itu, kita juga bersedia menghantar Skuad Sukarelawan Transformasi Terengganu Baharu (TTB) ke Bangladesh sekiranya diperlukan,” katanya.