KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri akan menangani isu Lesbian, Biseksual, Gay dan Transgender (LGBT) dengan bidang kuasa sedia ada sama ada melalui kempen, pendidikan mahupun penguatkuasaan undang-undang.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan memandang serius masalah tersebut kerana pelakuan seumpama itu bertentangan dari segi agama dan di luar batas norma masyarakat negara ini.

Menurutnya, atas pendirian itu kerajaan negeri melalui Exco Pembangunan Insan, Dakwah Dan Penerangan, Mohamad Nor Hamzah telah mengadakan pertemuan dengan kerajaan Pusat bagi berkongsi idea mengenai isu LGBT yang kini mendapat perhatian ramai.

"Aktiviti songsang ini adalah satu penyakit dalam masyarakat kita yang perlu dicari jalan bagaimana untuk kita hadapi dengan cara pendidikan, penguatkuasaan, peraturan-peraturan dan enakmen sedia ada dengan cara nasihat, perundingan," katanya selepas mesyuarat exco hari ini.

Beliau berkata, pendekatan melalui pelbagai cara itu penting bagi mengawal aktiviti dan perlakuan LGBT daripada terus berlaku dan merebak dalam masyarakat.

Dr Ahmad Samsuri juga berharap menteri berkenaan lebih faham sebenarnya apa yang berlaku di bawah saranan diberikan oleh Terengganu.

"Bukan hanya melihat jauh dari realiti sebenar yang berlaku dan bahayanya keadaan itu (LGBT) kepada anak-anak kita (generasi akan datang)," katanya.