• Kerajaan Negeri akan kuat kuasa peraturan larangan merokok di tempat awam Chin Yaw (dua kanan) menyempurnakan perasmian Karnival Jelajah Sihat Bersama Komuniti dan Hari Tanpa Tembakau Sedunia Peringkat Negeri Terengganu di Dataran Shahbandar
1 /

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu bakal menguatkuasakan peraturan larangan merokok di tempat awam dengan mengisytiharkan Zon Bebas Asap Rokok tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Toh Chin Yaw berkata, Kuala Terengganu adalah daerah terpilih untuk menjadi perintis diwujudkan kawasan itu, tetapi pihaknya masih mencari lokasi yang sesuai.

Menurutnya, Melaka dan Johor telah melancarkan pengisytiharan Bebas Asap Rokok dan bakal menyusul adalah Pulau Pinang.

“Ia merupakan satu program yang baik dan beberapa negeri seperti Melaka dan Johor telah melaksanakannya malah di luar negara juga telah ada program sebegini. Sebelum ini telah ada pelbagai akta dan larangan merokok di tempat awam dilaksanakan.

“Zon Bebas Asap Rokok merupakan tambahan apa yang telah dilaksanakan bagi meningkatkan lagi kesedaran kepada orang ramai mengenai bahaya merokok. Jabatan Kesihatan telah menyenaraikan beberapa lokasi yang sesuai, namun perbincangan dengan penduduk dan peniaga perlu dilakukan kerana melibatkan komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa hadir merasmikan Karnival Jelajah Sihat Bersama Komuniti dan Hari Tanpa Tembakau Sedunia Peringkat Negeri Terengganu di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu (Kesihatan Awam), Dr Mohd Jusoh dan Pegawai Kesihatan DaerahKuala Terengganu, Dr Balkis Ab Karim.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar berkata, perintis kawasan Bebas Asap Rokok di negeri ini akan diwujudkan dalam masa terdekat.

Katanya, jika telah diwartakan lokasi tersebut kelak, mereka yang melanggar peraturan di bawah Akta Kawalan Hasil Tembakau 2004 boleh didenda sehingga RM500 jika didapati bersalah.