KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu hari ini melancarkan 6,000 kitab fikah 'Al-Fiqhul Muyassaru Fi Matla'il Badraini Wa Majma'il Bahraini' yang diolah dan diedit mengikut bahasa moden.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata, buku tersebut akan menjadi bahan pengajaran kepada pelajar dan akan diedarkan kepada guru agama di masjid dan surau di negeri ini.

"Kitab ini menggunakan ayat yang mudah dan sesuai dengan perkembangan masa supaya lebih menarik," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran kitab Al-Fiqhul Muyassaru Fi Matla'il Badraini Wa Majma'il Bahraini siri kedua dan ketiga di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri Khazan Che Mat dan 1,000 guru agama, iman serta bilal masjid.

Ahmad berkata, kerajaan negeri melalui Yayasan Islam Terengganu (YIT) membelanjakan RM100,000 untuk percetakan kitab tersebut.
   
Mengulas lanjut Menteri Besar berkata, tujuan kerajaan negeri mencetak buku berkenaan bukan untuk perniagaan tetapi untuk menyebarluaskan buku agama itu dalam kalangan masyarakat Islam.

"Namun begitu kepada orang luar yang ingin mendapatkan buku tersebut bolehlah membelinya daripada YIT," katanya.

Beliau berkata, langkah kerajaan negeri mencetak semula buku tersebut dengan menggunakan bahasa moden kerana karangan yang asal sukar dibaca dan difahami.

Sementara itu pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniZA) Abdul Halim Awang berkata enam pensyarah UniZA terlibat menyunting buku tersebut.

Beliau berkata, siri pertama pelancaran buku itu dibuat pada 2011 dan buku ini lebih mudah diikuti kerana perkataan dalam buku ini terdapat dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka.

"Semua idea pengarang asal buku ini tidak disentuh atau diubah," katanya.- Bernama