KUALA TERENGGANU - Jumlah mangsa banjir di Dungun, Terengganu terus meningkat kepada 233 orang daripada 79 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 55 orang (20 keluarga) malam tadi.

Menurut laporan portal Info Banjir, satu lagi pusat pemindahan sementara (PPS) kini dibuka di daerah itu, di Surau Besol Lama yang menempatkan seorang mangsa.

Pertambahan paling ramai mangsa banjir ialah di Dewan Orang Ramai Kampung Shukor iaitu 155 orang (47 keluarga) berbanding 49 mangsa (16 keluarga) sebelum ini.

Di Dewan Orang Ramai Pasir Raja pula, seramai 77 orang (31 keluarga) berada di situ berbanding enam mangsa (empat keluarga) malam tadi.

Sementara itu, mengikut laporan Jabatan Pengairan dan Saliran pula, setakat 7.30 pagi ini, Sungai Dungun di Kuala Jengai menunjukkan bacaan 21.33 meter (m) melebihi paras bahaya 21.00m manakala bacaan di Pasir Raja, 38.37m melebihi paras bahaya 37.50m.

Empat sungai di daerah Kemaman, Hulu Terengganu dan Setiu pula telah melepasi paras amaran. - Bernama