KUALA TERENGGANU – Anak syarikat milik Kerajaan Negeri, Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) menyumbangkan sebanyak RM40,000 kepada Persatuan Sukan Orang Pekak Terengganu (TSDeaf) yang menyertai temasya Sukan Orang Pekak Malaysia Kali Ke-20 (SOPMA).

Seramai 86 atlet mewakili Terengganu ke temasya itu yang diadakan dari 13 hingga 20 Oktober ini di Ipoh, Perak.

SOPMA merupakan satu-satunya sukan bagi warga OKU pekak, yang memberi tumpuan kepada beberapa jenis sukan yang bersesuaian dengan kumpulan istimewa ini iaitu bola sepak, futsal, olahraga dan tenpin boling.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Inc, Dr Wan Ahmad Rudirman Wan Razak berkata, tajaan itu adalah di atas dasar keprihatinan dan mengharapkan penajaan dan sokongan kepada kumpulan istimewa itu akan menjadi perangsang kepada mereka untuk beraksi cemerlang dalam bidang sukan dan menjulang nama Terengganu di peringkat lebih tinggi.

“Warga istimewa anak-anak negeri Terengganu perlu diberi perhatian sama rata oleh pelbagai pihak bagi mereka meneruskan kelangsungan hidup dengan galakan untuk menceburkan diri dalam bidang sukan mahupun lain-lain bidang yang berdaya saing.

“Sehubungan itu, Terengganu Inc mengambil inisiatif sebagai rakan penaja kepada Persatuan Sukan Orang Pekak Terengganu, selain lain-lain rakan penajaan seperti Kerajaan Negeri Terengganu, Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Jabatan Belia dan Sukan serta badan-badan lain,” katanya dalam siaran medianya, semalam.

Sementara itu, Chef De Mission (CDM) kontinjen Terengganu, Sabri Abas yang mewakili MSNT berkata, penyertaan yang dikendalikan TSDeaf ini memberi peluang kepada warga OKU pekak yang berpotensi tinggi untuk mewakili Terengganu, seterusnya mewakili negara dalam pertandingan lebih tinggi, antaranya Sukan Deaflympics, Sukan Orang Pekak Asia Pasifik dan Sukan Orang Pekak ASEAN.

Katanya, ini merupakan kejohanan kali ke 20 sejak ia dimulai pada tahun 1989 sehingga kini.

“Kontinjen Terengganu diketuai Mohd Yusri Abd Ghani selaku Presiden TSDeaf dan membawa harapan 16 emas dalam acara olahraga, boling dan futsal.

“Kita harapkan SOPMA ini menjadi motivasi kepada penyertaan warga OKU pekak dalam bidang sukan. Pihak MSNT sentiasa memberi sokongan kepada penglibatan mereka dalam bidang sukan, bersesuaian dengan matlamat ‘Sukan untuk Semua’,” katanya.