KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri tidak bercadang untuk melaksanakan hudud di negeri ini buat masa ini dan akan memberi tumpuan bagi memperkasakan lagi undang-undang Islam sedia ada.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pelaksanaan hukum hudud di negeri ini sedang dikaji dan pelaksanaannya memerlukan ketelitian kerana perlu melalui beberapa proses melibatkan banyak pihak.

"Perkara ini sedang dikaji dan buat masa ini kita beri tumpuan dulu kepada Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 dulu macamana dan lepas itu barulah boleh lihat apakah perkara yang akan dilaksanakan.

"Dalam Sidang Dun baru-baru ini kita telah memutuskan untuk memperketatkan lagi undang-undang syariah, kita beri tumpuan kepada undang2-undang jenayah takzir.

“Jadi kita lihat dulu kerana ia (hudud) tak boleh dibuat secara mendadak, ia akan lihat satu persatu dan atas asas keperluan," katanya ketika ditemui pada majlis agihan bubur lambuk oleh Kumpulan Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) di Masjid Abidin, di sini, hari ini.

Sebanyak 1,500 bekas bubur lambuk tajaan Kumpulan Terengganu Inc akan diagihkan di Masjid Abdin, di sini selama lima hari bermula 4 hingga 8 Jun ini melibatkan peruntukan sebanyak RM28,000.

Ditanya mengenai pandangan Adun Ajil, Ghazali Taib bahawa Terengganu akan menjadikan Acheh sebagai model bagi pelaksanaan Hudud, katanya, ia adalah pandangan peribadi wakil rakyat berkenaan.

"Buat masa ini tiada lagi keputusan untuk laksana hudud, itu mungkin pandangan peribadi beliau, saya rasa kenyataan ini bersifat general (umum) sahaja. Bagaimanapun, segala keputusan yang akan dilaksanakan itu nanti akan ditentukan oleh Sidang Dun dan mendapat perkenan DYMM (Sultan Terengganu)," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Razif meluahkan rasa syukur kerana kadar jenayah di negeri ini semakin menurun hasil pemerkasaan undang-undang sedia ada.

"Alhamdulillah, sekarang ini kadar jenayah Terengganu secara keseluruhannya menurun  hasil pelaksanaan undang-undang sedia ada, jadi apa yang kita perlu buat sekarang ialah menambah baik undang-undang sedia ada," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - Cadangan Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu (JKST) supaya kerajaan negeri menyemak semula Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) adalah tepat dan kena pada masanya.