KEMAMAN - Kerajaan Terengganu akan membayar saguhati dengan kadar segera kepada pemilik kediaman di Kampung Pasir Putih, Marang yang terlibat dengan projek pembesaran jalan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Teknologi Hijau negeri, Ir Rosli Othman berkata, pihaknya menerusi Pejabat Tanah dan Daerah Marang telah mengenal pasti enam buah rumah yang terlibat dalam projek itu.

"Setakat ini pembinaan jalan empat lorong dari Kuala Abang, Dungun ke Gong Balai, Marang telah siap dan pembinaan sedikit terganggu akibat jalan terbabit terkena enam buah rumah penduduk di Pasir Putih.

"Jadi, kita akan selesaikan pampasan itu dengan secepat mungkin untuk kita teruskan pembinaannya," kata beliau kepada pemberita di kediamannya di sini semalam, selepas menyampaikan sumbangan kepada 200 golongan miskin, anak yatim, ibu tunggal dan pengali kubur.

Beliau berkata, setelah selesai pembayaran pampasan itu, kerja-kerja pelebaran jalan dijangka dapat diselesaikan sebelum akhir tahun ini.

Rosli berkata, kerajaan mengeluarkan peruntukan yang besar untuk kerja pelebaran jalan menjadikan empat lorong dari Kemaman ke Kuala Terengganu bagi menjimatkan masa dan keselesaan orang ramai.

"Setelah siap kerja-kerja pelebaran jalan itu nanti, ia bukan sahaja melancarkan lalu lintas malah menjimatkan masa pengguna jalan raya terutama menjelang musim perayaan," katanya.

Sementara itu, Rosli berkata, kerajaan akan berusaha mendapatkan peruntukan bagi kerja-kerja melebarkan enam jambatan dari Kemaman ke Kuala Terengganu.

"Insya-ALLAH, kita akan berusaha agar semua jambatan yang sempit di sepanjang laluan itu akan dapat diselesaikan secara berperingkat," katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA NERANG - Seramai 16 keluarga dari Kampung Baru, Jalan Kampung Masjid, di sini merayu kepada kerajaan negeri supaya dapat membayar pampasan selepas kediaman mereka dirobohkan pada Mei 2016 lalu.
  • KUALA TERENGGANU - [VIDEO] Kampung Tanjung, Kuala Terengganu di sini, suatu ketika dahulu dikenali sebagai kawasan penempatan nelayan dan sebuah kampung tradisional Melayu.
  • KUALA LUMPUR - DAP meminta kerajaan untuk mendedahkan mekanisme pembayaran pampasan pada Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB), susulan pemansuhan Lebuhraya Penyuraian Trafik Johor Timur (EDL), mulai tahun hadapan.
  • BANDAR JENGKA - Dua waris kemalangan jalan raya di Bandar Pusat Jengka di sini, bersyukur menerima pampasan insurans Zurich Takaful berjumlah hampir RM170,000.
  • SUNGAI BULOH - “Dalam hati marah...Dah pukul 7 pagi dia tak bangun-bangun lagi tapi bila jenguk dia dalam bilik, hati jadi sayu, bila tahu dia sudah tidak bernyawa...Dia 'pergi' dalam tidur,” kata Wasipah Basir, 46, ibu kepada Abd Rahim Suwarto, 22, yang meninggal dunia pada 3 Syawal tahun lalu.