PULAU DUYONG - Kerajaan negeri menyasarkan untuk menjadikan Terengganu sebagai Koridor Pelancongan Islam Antarabangsa, sekaligus menjadi contoh bagi industri itu yang lebih islamik.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, daripada 25.9 juta pelancong yang berkunjung ke Malaysia pada tahun 2017, hampir 22 peratus atau lebih lima juta adalah dari negara-negara Islam seperti Timur Tengah.

"Di sinilah peranan penggiat-penggiat pelancongan dalam menyediakan perkhidmatan dan kemudahan yang mesra pelancong Islam, Terengganu akan tingkatkan usaha untuk pastikan prasarana pelancongan menepati ciri-ciri al-Quran dan sunnah.

"Pelancongan Islam pada asasnya tidak jauh beza dengan pelancongan yang dijalankan pada hari ini. Perbezaan yang ada mungkin membabitkan prinsip iaitu daripada segi kepatuhan kepada sistem dan nilai yang ditetapkan syarak.

"Justeru, harapan kerajaan negeri kepada penggiat pelancongan di dalam industri-industri pelancongan agar berganding bahu bagi mencapai matlamat yang ditetapkan,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa bersama Penggiat-Penggiat Industri Pelancongan di Pusat Konvensyen Duyong, Duyong Marina & Resort, Pulau Duyong, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman

Menurut Samsuri, kerajaan negeri memberi jaminan untuk terus komited mempergiatkan rancangan masa depan, persediaan dan pelaksanaan pelbagai usaha bagi menarik kehadiran lebih ramai pelancong ke negeri itu.