KUALA TERENGGANU - Terengganu akan menjadi negeri pertama di negara ini yang akan membuka hab pelancongan di bandar Huaxi, iaitu perkampungan terkaya di wilayah Jiangsu, China dalam usaha menarik lebih ramai pelancong China ke negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, kerajaan wilayah itu telah meluluskan tanah seluas 0.4 hektar untuk dibina sebuah pavilion di bandar itu yang berkonsepkan rumah tradisional Terengganu dengan kos RM3 juta.

Katanya, satu memorandum persefahaman (MOU) ditandatangani dengan kerajaan wilayah itu dan pembinaan pavilion itu akan bermula bila-bila masa dari sekarang.

"Terengganu negeri pertama yang membina pavilion berkenaan di mana lokasinya  terletak dalam kawasan yang menempatkan mercu tanda pelancongan terkenal seluruh dunia seperti London Bridge.

"Selain akan menjadi menjadi hab pelancongan Terengganu di negara China, pavilion itu juga akan menjadi menjadi pusat untuk kita memasarkan pelbagai produk milik perusahaan rakyat Terengganu dan pameran mengenai tarikan pelancongan di negeri turut akan diadakan di situ dari semasa ke semasa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Festival Peranakan Cina Terengganu 2017 di Kampung Cina, di sini semalam.

Ahmad Razif berkata kerajaan negeri juga sedang berbincang dengan kerajaan beberapa wilayah di negara itu bagi mewujudkan penerbangan khas yang akan membawa pelancong dari wilayah tersebut terus ke negeri ini.

"Kita berharap jika kerjasama itu berjalan lancar, sasaran untuk menarik 80,000 pelancong China ke negeri ini pada tahun depan akan tercapai," katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri menafikan dakwaan pembangkang bahawa Skim Khas Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Tapak Rumah 2017 yang dijanjikan kepada mereka yang layak hanyalah sekadar janji sempena PRU14.
  • KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif memuji kerja keras pasukan keselamatan di negeri itu dalam menangani masalah kesesakan lalu lintas pada Aidilfitri kali ini.
  • KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu akan menubuhkan pasukan Medik Bergerak bagi memberi perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat luar bandar termasuk Orang Asli.
  • KUALA TERENGGANU - Perkhidmatan penerbangan terus dari Kuala Terengganu ke Johor Bahru akan dimulakan selewat-lewatnya sebelum Ramadan ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.