BESUT – Rakyat Terengganu digalakkan menjadi petani secara kecil-kecilan  dengan berkebun di kawasan rumah sendiri bagi menjayakan Program Berbudi Kepada Tanah dan menjalani gaya hidup yang lebih sihat.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata dengan menanam sayur-sayuran di keliling rumah ketika waktu lapang ia juga akan dapat mengeratkan lagi ikatan kekeluargaan malah  sedikit sebanyak meringankan beban belanja dapur sesuatu keluarga.

“Untuk itu kerajaan negeri akan melaksanakan program berkenaan secara serentak di seluruh negeri pada satu masa yang akan ditetapkan dengan agensi-agensi pertanian diminta membantu dari segi mengagihkan biji benih dan khidmat nasihat kepada mereka yang menjayakannya”, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri dan Pekan Budaya Daerah Besut , di sini hari ini.

Ahmad Razif berkata kerajaan negeri juga bersedia memberi kebenaran kepada rakyat negeri ini yang berminat menjalankan aktiviti pertanian jangka pendek di tanah-tanah kerajaan yang tidak digunakan di seluruh negeri.

Katanya, untuk itu  mereka boleh memohon melalui pihak berkuasa tempatan seperti Pejabat Tanah dan Daerah serta agensi-agensi pertanian di daerah masing-masing bagi menjalankan aktiviti pertanian. –Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :