KUALA BERANG - Ketua Pemuda Umno Bahagian Hulu Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera dilantik sebagai Ketua Pemuda Umno Terengganu penggal tahun 2018-2021.

Beliau yang juga anak sulung bekas Adun Kuala Berang, Datuk Tengku Putera Tengku Awang menerajui Pemuda Umno Bahagian Hulu Terengganu setelah memenangi pertandingan pada pemilihan sayap itu baru-baru ini.

Mengulas berhubung perlantikan tersebut, Tengku Haphiz menyifatkan ia satu kepercayaan dan amanah yang perlu digalas dengan sebaik mungkin sekaligus memastikan Umno kembali bangkit selepas episod duka PRU14 lalu.

"Terima kasih dan penghargaan tidak terhingga buat Ketua Pemuda Umno Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki  yang telah memberikan amanah dan kepercayaan kepada saya bagi mengetuai jentera Pemuda Umno Terengganu bagi penggal 2018-20121.

"Menyedari hakikat amanah ini, saya mengajak rakan-rakan seperjuangan seluruh Terengganu berganding bahu, bekerjasama, bertoleransi, menyatu pemikiran dan menyatukan tindakan.

"Marilah bersama-sama saya dan saudara Zul Fadli Rozi selalu Naib Ketua Pemuda Umno Terengganu memangkin kembali roh perjuangan Umno di Terengganu.

"Inilah suatu permulaan medan pentarbiahan kepada jentera Pemuda Umno Terengganu dalam memulihkan kepercayaan masyarakat terhadap Umno," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Tambah Tengku Haphiz, program serta aktiviti secara turun padang ke peringkat akar umbi antara agenda utamanya untuk digerakkan secara lebih menyeluruh bagi menyelami serta mendekati pemuda segenap kampung.

Sementara itu, untuk info jawatan Ketua Pemuda Umno Terengganu pada penggal lalu digalas Mohd Johari Abu Bakar yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Hulu Terengganu.