KUALA TERENGGANU- Seorang buruh sanggup menendang perut sepupunya gara-gara tidak berpuas hati berhubung tindakan suami sepupunya itu yang meletakkan kereta sehingga menghalang kereta rakan kepada ayahnya.

Semalam, tindakan agresif tertuduh, Mohammad Shahrain Mohammad Saleh, 24, dari Kampung Alor, Atas Tol, di sini, menerima ‘balasan’ apabila didenda RM1,000 atau dua bulan penjara jika gagal menjelaskan jumlah denda,  oleh Mahkamah Majistret.

Hukuman itu dijatuhkan oleh Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi selepas tertuduh mengaku bersalah atas dakwaan menyebabkan kecederaan terhadap sepupunya Siti Anani Abd Kadir pada 26 Febuari lalu, kira-kira jam 12.15 tengah malam di hadapan rumah bernombor 570, Kampung Alor, Atas Tol, di sini.

Mohammad Shahrain mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan itu yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai setahun atau dengan denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintenden Ngiam Ooi Ming manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Berdasarkan fakta kes, pada petang hari kejadian, rakan kepada ayah tertuduh telah meletakkan keretanya di kawasan rumah mangsa yang menyebabkan kereta milik mangsa terhalang.

Jadi, suami mangsa bertindak meletakkan kereta menghalang kereta milik rakan ayah tertuduh bertujuan untuk mengetahui pemilik kereta terbabit.

Dengan tindakan itulah telah menimbulkan rasa tidak puas hati tertuduh terhadap keluarga mangsa dan seterusnya bertindak ‘menyerang’ ke rumah mangsa pada malam kejadian.

Tertuduh yang tidak dapat mengawal perasaan amarahnya telah menendang perut mangsa dan akibat perbuatan tertuduh, mangsa mengalami kecederaan di bahagian perut.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - Wanita Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Terengganu komited menjalankan tanggungjawab pertubuhan dengan tidak ‘berkira’ untuk menyumbang tenaga dan wang ringgit.
  • KUALA TERENGGANU - Pengundi Terengganu dijangka menggunakan sepenuhnya ruang demokrasi sepenuhnya melalui sistem pilihan raya dengan membuat pilihan tepat pada PRU14.
  • KUALA TERENGGANU - Gara-gara lambat buka pintu rumah, seorang wanita dicekik sehingga sesak nafas oleh suaminya yang dipercayai kaki mabuk itu, pada Isnin lalu.
  • KUALA TERENGGANU - Lelaki yang ditahan apabila disyaki mencabul bayi perempuannya berusia 12 bulan dibebaskan selepas siasatan mendapati kesan kemerahan pada kemaluan mangsa adalah hanya ruam.
  • KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu akan menghantar permohonan kepada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) untuk mengiktiraf keunikan budaya dan warisan masyarakat Cina di negeri itu khususnya di Kampung Cina.