KUALA TERENGGANU - Seorang tekong warga Vietnam didenda RM300,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini kerana kesalahan menceroboh perairan negara.

Tertuduh, Mai Van Danh, 58, turut berdepan hukuman setahun penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Hakim Azman Mustapha membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku salah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985 (Akta 317) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25(a) dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa gagal memberitahu seorang pegawai berkuasa melalui radio, teleks atau faksimili dalam Bahasa Inggeris atau Bahasa Malaysia tentang nama, negara bendera, lokasi jalan dan destinasi vesel tersebut, jenis serta amaun ikan yang dibawa dan hal keadaan vesel tersebut memasuki perairan perikanan Malaysia.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 24 Febuari lalu, lebih kurang jam 4.52 pagi di atas vesel penangkapan ikan asing di kedudukan 110 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu, di sini.

Bagi kesalahan itu, hukuman denda tidak melebihi RM1,000,000 setiap seorang dalam hal empunya atau nakhoda dan RM100,000 dalam hal tiap-tiap anggota kru boleh dikenakan, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), Ibu Pejabat Wilayah Maritim Timur, Mohamad Afiq Taqiudin Roslan.

Berdasarkan fakta kes, sebuah vesel nelayan asing ditahan dalam rondaan di sekitar perairan Kuala Terengganu oleh Kapal Maritim Segantang.

Pemeriksaan mendapati terdapat 16 orang yang merupakan warga Vietnam termasuk tertuduh berada di atas vesel tersebut sebelum siasatan lanjut mendapati tertuduh adalah tekong vesel.

Siasatan lanjut turut mendapati lokasi vesel itu ditahan adalah di dalam perairan Malaysia berdasarkan pengesahan daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem).