MARANG - Kini menjadi trend kebanyakan pembeli berkunjung ke kedai tayar lebih gemar mencari tayar terpakai untuk menggantikan tayar kenderaan mereka yang rosak.

Lebih membimbangkan, tayar-tayar terpakai yang diragui tahap keselamatannya itu dilihat semakin mendapat sambutan kerana harganya jauh lebih murah berban­ding tayar baharu.

Hakikatnya, penggunaan tayar terpakai adalah berisiko tinggi menyebabkan kemalangan namun masih ramai pengguna membeli tayar jenis itu yang ditawarkan pada harga rendah.

Presiden Persatuan Pengajar Memandu Malaysia (MyDIA), Tengku Ahmad Marwan Tengku Mahmud berkata, tayar adalah komponen terpenting dalam menentukan cengkaman kenderaan ketika di jalan raya.

“Sebab itu saya syorkan agar pengguna yang berbaget rendah menggunakan model-model tayar ber­­s­pesifikasi rendah asalkan ia tayar baharu bukan terpakai," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau mengulas kebanjiran kedai kedai tayar terpakai atau tayar 'bundle' yang tumbuh bak cendawan termasuk di daerah ini yang mendapat sambutan pengguna kerana faktor harganya murah.

Beliau mengakui dan tidak menafikan harga tayar-tayar terpakai berada di pasaran lebih murah namun pengguna harus memikirkan soal keselamatan diri dan ahli keluarga ketika di jalan raya.

"Bagi saya bila bab tayar ini, tak perlulah beli yang terpakai kerana tayar ada tarikh luput. Getah tayar juga akan 'mati' dan hilang cengkaman walaupun bunga tayar nampak masih tebal.

"Pihak kerajaan juga perlu memainkan peranan mereka dan bertindak lebih proaktif dalam memastikan pengguna mengelak membeli tayar terpakai atas faktor-faktor keselamatan," katanya.

Dalam pada itu, seorang pemilik kedai tayar di daerah ini, hanya mahu dikenali sebagai Kamaruddin berkata, sambutan terhadap tayar terpakai semakin meningkat dan agak membimbangkan.

Beliau berkata, tayar-tayar tanpa diketahui sumber asalnya itu sangat berbahaya kerana mempunyai risiko tinggi mudah pecah berban­ding model tayar baharu yang ber­­s­pesifikasi rendah.

“Sebenarnya, ramai juga tidak menyedari penggunaan tayar baharu lebih menjimatkan, tambahan keba­nyakan pe­ngeluar kini memberi jaminan ketahanan sehingga tempoh lima tahun,” katanya.

Sebab itu, Kamaruddin mengesyorkan pemandu agar menggunakan penggunaan tayar baharu selain memeriksa serta menyelenggara tayar kenderaan mereka iaitu setiap tiga bulan sekali.

"Sekiranya pengguna menggunakan tayar terpakai sudah pastinya ketika diperiksa ia akan menunjukkan keadaan tayar itu sudah tidak selamat. Jadi kenapa menggunakan tayar jenis itu," katanya.