KUALA TERENGGANU – Kerajaan perlu menawarkan projek lain sebagai ganti kepada projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) sekiranya ia dibatalkan.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, langkah itu bagi memastikan pembangunan ekonomi bagi merangsang pertumbuhan yang berdaya maju di Pantai Timur.

“Saya harap kerajaan dapat menawarkan projek lain sebagai ganti misalnya projek kereta nasional ketiga yang dicadangkan akan dilaksanakan sebelum ini.

“Sekiranya projek itu berpusat di sini (pantai timur), ia akan merangsang permintaan untuk penggunaan ECRL pada masa hadapan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai cadangan penangguhan projek ECRL.

Ditanya lanjut, katanya, proses pembatalan Projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) tidak boleh dilakukan secara percuma sebaliknya memerlukan bayaran pampasan ganti rugi yang melibatkan jumlah yang besar.

“Pembatalan projek itu dilihat begitu merugikan sekiranya kos yang perlu dibayar melibatkan sejumlah besar wang rakyat.

“Saya kecewa setelah berbilion wang rakyat telah dibelanjakan untuk ECRL, tiba-tiba ia dimaklumkan mahu dibatalkan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan perlu mengambil kira semula pengecilan kos projek itu menerusi saiz stesen dan bilangan koc kereta api.

“Selagi kerajaan tidak melabur dalam projek infrastruktur dan mega yang boleh membantu merangsang pembangunan di Pantai Timur, selagi itu peluang ekonomi dan pekerjaan terhad disini.

“Jika kerajaan mahu mengecilkan jurang pembangunan, mereka perlu bersedia melonjakkan pembangunan di sini dengan pakej-pakej rangsangan projek utama seperti ECRL,perindustrian, maritim dan seumpamanya,” katanya.