BUKIT TOK BENG - Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) diminta agar terus memberi fokus terhadap masalah ponteng sekolah bagi mengelak pelajar terlibat dengan kesalahan yang lebih serius.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, meskipun permasalahan itu masih lagi terkawal, namun langkah pencegahan awal perlu diambil bagi memastikan usaha untuk melahirkan generasi yang cemerlang dalam semua aspek akan tercapai.

“Saya minta kepada JPNT untuk memberi fokus yang lebih serius mengenai masalah ponteng dalam kalangan pelajar kerana aktiviti ini boleh menjurus kepada kegiatan penyalahgunaan dadah.

“Penglibatan pelajar dalam kesalahan atau aktiviti jenayah bermula daripada masalah ponteng dan perkara ini perlu kita lihat secara lebih serius,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebaik selesai menyempurnakan perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tok Beng, di sini.

Menurut Ahmad Razif lagi, pihaknya turut menyokong dan menyambut baik usaha yang dilakukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dengan mewujudkan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) bagi mengeratkan lagi hubungan kedua-dua belah pihak.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Ahmad Razif turut menggesa semua pemimpin di setiap daerah memainkan peranan dengan mewujudkan kumpulan khusus untuk membanteras gejala ponteng sekolah dalam kalangan pelajar.

“Di kawasan Seberang Takir sendiri kita telah menggerakkan kumpulan khusus untuk memantau aktiviti ponteng dalam kalangan pelajar sekolah.

“Kumpulan yang diketuai Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Teluk Ketapang, Md Azmi Abd Aziz telah banyak mengadakan operasi khas untuk tangani masalah ponteng dan ia dilihat memberi kesan yang sangat positif,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • TELUK KETAPANG - Lapan pelajar sekolah menengah di daerah ini ‘dicekup’ sedang asyik melayari internet ketika masih dalam waktu persekolahan di salah sebuah pusat ICT di Seberang Takir.
  • MELAKA TENGAH - Seorang murid tahun tiga sebuah sekolah kebangsaan di sini dilaporkan hilang ketika berjalan kaki ke sekolah selepas dikesan tidak muncul sehingga jam 11 pagi kelmarin.
  • PASIR PANJANG - Dua beradik bergilir menjaga ibu mereka yang menghidap barah payudara tahap empat dan lumpuh sehingga salah seorang darinya kadang-kala terpaksa ponteng sekolah.
  • KANGAR - Kerajaan negeri Perlis memandang serius masalah ponteng sekolah dan jenayah dalam kalangan pelajar di negeri ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.