KUALA TERENGGANU - [DIKEMASKINI] Kementerian Pertahanan komited memastikan kesejahteraan veteran sentiasa terjaga dan buktinya melalui Belanjawan 2019, peruntukan tambahan sebanyak RM20 juta telah disediakan kepada golongan terbabit.

Menterinya, Mohamad Sabu berkata, peruntukan tambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan untuk golongan veteran ATM sebanyak RM98 juta bagi tahun hadapan dan ia meningkat berbanding tahun ini hanya RM78 juta.

Menurutnya, kementeriannya akan berusaha memastikan setiap veteran ATM menerima bantuan dan sumbangan yang sewajarnya.

"Belanjawan kali ini memberi penghargaan terutamanya kepada veteran ATM dimana kerajaan memberikan penambahan peruntukan lebih kurang RM20 juta berbanding tahun lalu.

Mohamad Sabu

"Peruntukan diharap mampu meningkatkan kebajikan dan kesejahteraan veteran ATM dengan lebih baik," katanya dalam sidang media selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada Veteran ATM Peringkat Negeri Terengganu, di sini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad, Timbalan Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah serta barisan Veteran ATM.

Sementara itu, ditanya berhubung kesiapsiagaan bencana banjir Mohamad berkata, semua telah bersedia termasuk anggota dan aset.

"Kekuatan anggota bergantung kepada keadaan bencana sebab kita akan kerahkan mengikut keperluan di setiap daerah," katanya.

Pada majlis berkenaan seramai 185 veteran menerima PJM yang terdiri daripada 116 veteran dari Persatuan Veteran ATM, 54 orang dari Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen dan 15 lagi dari Persatuan dan Kelab Veteran 104 termasuk 13 balu.