KUALA TERENGGANU - Malaysia Book Of  Records (MBOR) mengiktiraf  Taman Barangan Terpakai terpanjang yang dipamerkan pada Hari Koperasi Negara 2017 yang berlangsung di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), di sini, bermula 10 hingga 12 Ogos.

Aktiviti yang diusahakan dengan kerjasama 28 koperasi di Terengganu dan SW Corp Malaysia (SW Corp) itu menampilkan taman sepanjang 150 meter yang dibina menggunakan pelbagai barangan terbuang termasuk botol minuman, akhbar lama, tayar, tin kosong dan  bekas makanan. 

Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Terengganu, Mohd Ruslan Awang berkata, tema dan bentuk persembahan taman adalah mengikut kreativiti setiap koperasi.

“Ia bagi mendidik masyarakat menghargai barangan terbuang dan mengelak pembaziran. Masyarakat boleh mengambil contoh dengan melakukannya sendiri di halaman rumah masing-masing,” katanya.

Antara taman barangan terpakai sempena Hari Koperasi Negara 2017 di TTC.

Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Henry Sum Agong.

Pada majlis tersebut, wakil dari MBOR turut menyampaikan sijil sebagai tanda pengiktirafan.    

Jelasnya, SKM menyasarkan kira-kira 8,000 pengunjung hadir pada program yang turut diselitkan dengan pelbagai acara menarik lain, antaranya pertunjukan canting batik, persembahan kebudayaan, mencari harta karun dan bicara tokoh koperasi.

“Ini merupakan kali kedua Hari Koperasi peringkat negeri diadakan, bertujuan untuk mendedahkan kepada orang awam berhubung peranan sebenar SKM iaitu untuk memastikan setiap koperasi yang ditubuhkan dapat dibangunkan dengan sempurna bagi meningkatkan ekonomi,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :