KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri akan kaji pelaksanaan skim insurans keluarga Islam atau (takmin al-usrah) sebagai jaminan untuk kelangsungan hidup sekiranya berlaku penceraian.

Exco Kerajaan Negeri, Ghazali Taib berkata, inisiatif itu sebagai pendekatan baharu bagi mengatasi masalah pengabaian nafkah kepada anak-anak selepas berpisah.

Menurutnya, skim insurans itu terbukti berjaya menyelesaikan masalah dalam pemberian nafkah selepas berlaku penceraian malah ia telah digunapakai di beberapa negara Timur Tengah seperti Jordan dan Mesir.

"Insurans ini adalah satu bentuk jaminan agar nasib anak-anak dan isteri selepas diceraikan tidak terabai kerana kegagalan bekas suami menjalankan tanggungjawab.

"Selain itu, ia juga bagi memastikan kebajikan anak-anak terbela terutama melibatkan urusan penting seperti persekolahan dan pendidikan, namun, kajian terperinci perlu dilakukan agar mekanismenya nanti sesuai dilaksanakan di Terengganu," katanya.

Sehubungan itu, Ghazali berkata satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan untuk membuat kajian secara lebih mendalam agar pelaksanaannya mampu mengatasi masalah pengabaian nafkah.

"Pendekatan ini perlu dilaksanakan memandangkan kes pengabaian nafkah anak masih tinggi di Terengganu.

"Tahun lalu, hanya 110 bapa yang telah menunaikan tanggungjawab membayar nafkah kepada anak-anak mereka.

"Jumlah itu masih kecil, hanya 45 peratus sahaja berbanding 269 kes tuntutan nafkah yang direkodkan sepanjang tahun 2017," katanya.

Ghazali berkata, di negeri ini, isteri yang tidak mendapat nafkah itu tetap mendapat pembelaan melalui dana bantuan nafkah anak yang disalurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

"Pada 2017, sebanyak RM133,800 diberi kepada seramai 76 ibu tunggal dengan minimum bantuan RM2,000 untuk kegunaan selama enam bulan," katanya.