KEMAMAN - Belum sampai sejam menarik nafas lega kerana abangnya yang hilang sejak minggu lalu dijumpai selamat, seorang suri rumah, Sabariah Abu Bakar, 56, kembali bimbang setelah abangnya itu menghilangkan diri semula.

Abangnya, Hamdan Abu Bakar, 58, yang tinggal di Kampung Baru Beris Nenas, Kijal, di sini, ditemui oleh seorang penduduk kampung mereka ketika sedang merayau-rayau di hadapan kompleks beli-belah Sogo, Kuala Lumpur kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.

Bagaimanapun, belum sempat dirinya dibawa ke balai polis berdekatan, Hamdan yang juga pesara kerajaan dan pesakit mental terlebih dahulu melarikan diri.

Sabariah berkata, dia bersyukur sebaik sahaja dihubungi oleh orang kampungnya yang memberitahu abangnya sudah berjaya ditemui.

Gambar Hamdan yang sempat dirakam ketika sedang merayau-rayau di depan Sogo kira-kira jam jam 12.30 tengah hari tadi.

"Tapi lepas lebih setengah jam kemudian saya diberitahu yang abang larikan diri, orang kampung yang jumpanya cuba kejar namun tak berjaya.

"Jadi saya harap kerjasama orang ramai untuk salur maklumat jika ternampak abang saya. Mungkin dia ada di sekitar Sogo lagi," katanya ketika dikunjungi Sinar Harian di rumahnya di Kampung Mak Chili, di sini.

Hamdan disedari hilang pada 30 Ogos lalu selepas tidak pulang ke rumahnya sebelum ada penduduk kampung melihatnya menunggang motosikal sendirian di lebuh raya menuju ke Genting Sempah, Pahang, sekitar jam 6.30 petang pada hari sama.

Kata Sabariah, abangnya waktu itu menunggang motosikal Yamaha Lagenda berwarna biru dan bernombor pendaftaran TBH 782 serta memakai topi keledar juga berwarna biru.

"Masa hilang dia pakai baju hijau gelap dan berseluar slack hitam dan semasa ditemui di depan Sogo pun masih memakai pakaian sama," katanya.

Menurutnya, abangnya yang bekerja di Pejabat Perhutanan Kerteh sebelum bersara mengalami sakit mental kira-kira 20 tahun lalu.

"Abang sakit selepas insiden dia hilang di hutan semasa sedang kerja. Lepas dia selamat ditemui dia jadi murung dan kerap termenung. Setelah bertahun-tahun kesihatannnya beransur baik.

"Namun sejak kebelakangannya ni, sakitnya makin teruk mungkin sebab dia tak makan ubat. Saya ajak dia tinggal bersama saya tapi dia tak nak sebab lebih selesa tinggal di rumah sendiri katanya," katanya.

Meskipun sakit, katanya, abangnya tidak menganggu orang lain cuma abangnya tidak boleh duduk diam dan akan agresif jika dipegang dan disuruh duduk diam.

Sabariah memberitahu, susulan kehilangan Hamdan, dia sekeluarga juga membuat laporan polis pada 1 September lalu di Balai Polis Kerteh selain turut menyebarkan kes kehilangan itu menerusi media sosial Facebook dan WhatsApp agar abangnya dapat segera dijejaki.

Katanya, orang ramai yang ternampak abangnya itu boleh menghubungin menerusi talian 019-9538577 atau anaknya, Nor Liyana Razali (013-3055417).