KUALA TERENGGANU – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) diberi pengecualian bayaran sewa dua blok bangunan asrama Taman Ilmu di Tembila, Besut selama 10 tahun dengan syarat menanggung kos untuk membaik pulih dan pembaikan dua buah asrama itu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau Negeri Ir Rosli Othman berkata, ia berdasarkan persetujuan yang dicapai kedua-dua pihak.

“Kerajaan negeri telah meluluskan permohonan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) untuk menggunakan dua blok bangunan asrama Taman Ilmu di Tembila, Besut dan kemasukan kumpulan pertama pelajar itu adalah pada 5 September depan.

“Bagaimanapun, pihak UniSZA perlu mendapatkan persetujuan daripada pihak Unit perancangan Ekonomi negeri (UPEN) bagi kerja-kerja pembaikan yang akan dilaksanakan dan kerajaan negeri tidak perlu mengeluarkan sebarang belanja untuk kos-kos pembaikan tersebut,” katanya pada mesyuarat kedua penggal kelima Dun ke-13 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Ir Rosli (BN-Kemasik) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Satiful Bahri Mamat (Pas-Paka) mengenai status terkini Taman Ilmu itu dan adakah pihak kerajaan berusaha memulihkan pembangunan yang sedia ada serta berapakah peruntukan yang dijangka terpaksa dikeluarkan.

Mengulas lanjut, Ir Rosli berkata, UniSZA bertanggungjawab membaik pulih dua blok itu mengikut kesesuaian dan spesifikasi yang diperlukan dan UniSZA tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang jenis barangan perabot selepas tamat tempoh yang dipersetujui.

“Anggaran kos untuk baik pulih adalah RM10 juta di mana sebahagian besarnya untuk membawa bekalan elektrik dan air ke kawasan tersebut.

“Segala kos yang akan ditanggung oleh pihak UniSZa ini akan diganti balik oleh sewa tapak selama 10 tahun dan untuk keselamatan tempat itu pula, akan diwujudkan pagar untuk memastikan ada kawalan keselamatan,” ujarnya.

Mengenai perkembangan Taman Ilmu itu, katanya, kos yang telah dibelanjakan untuk membangunkan Taman Ilmu setakat hari ini adalah sebanyak RM340 juta.

“Kerajaan negeri setakat hari ini tidak bercadang untuk mengeluarkan kos tambahan untuk membangunkan taman ilmu tersebut kecuali ada cadangan-cadangan daripada pihak berminat untuk membangunkan taman ilmu tersebut,” katanya.

Taman Ilmu yang dibangunkan di bawah Projek Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di kawasan seluas 280 hektar dengan kos kira-kira RM300 juta itu telah dibina mulai tahun 2004.

Bagaimanapun, projek itu terbengkalai setelah beberapa tahun dibina dan pada 2012 projek pembinaannya disambung semula dengan menyediakan kelengkapan asrama, kompleks pusat pelajar, dewan konvokesyen, kompleks sukan serta mini stadium.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA KINABALU - Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, garis panduan penyewaan premis sebagai tempat penginapan pelancong khususnya di kawasan bandar masih diteliti Peguam Besar Negeri.
  • BAHAU - Majlis Daerah Jempol (MDJL) akan melakukan proses pemutihan di pusat penjaja Bahau di sini, jika terdapat peniaga yang melanggar peraturan yang ditetapkan.
  • KUANTAN - Pembangkang di negeri ini mendakwa bayaran RM680,000 sebulan bagi menyewa Menara CDO Resources Sdn Bhd untuk dijadikan ibu pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kepada pemilik bangunan itu disifatkan satu pembaziran.
  • KUALA NERANG - Seorang ibu tunggal dari Kampung Keda Bukit Ular di sini merayu agar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) dapat membina semula rumahnya yang terbakar pada September tahun lalu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.