MARANG - Kerajaan negeri dengan kerjasama pelbagai agensi bersedia membantu sekolah-sekolah pondok dan pusat tahfiz swasta di negeri itu bagi memastikan keselamatan pelajar terjamin.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan negeri, A Latiff Awang berkata, kerajaan serius untuk membantu dalam permasalahan dihadapi institusi pendidikan agama itu.

“Kita tidak mahu jadi 'bangau oh bangau'. Bila berlaku (kemalangan), kita salahkan (orang lain). Sebagai kerajaan (negeri), kita bersedia membantu dan minta pihak terbabit dapat memberikan kerjasama,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan di peringkat negeri dan pusat bersedia membantu melalui peruntukan dan penyelenggaraan yang sepatutnya bagi menjamin keselamatan pelajar-pelajar di sekolah pondok serta tahfiz.

Menurutnya, Kerajaan Terengganu turut menginsafi kes kebakaran meragut nyawa agak besar yang berlaku dalam kejadian di Pusat Tahfiz Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Hujung, Selangor, baru-baru ini.

“Sebagai Exco pendidikan, saya telah berbincang di peringkat Jabatan Pendidikan dengan pihak berkenaan (agensi keselamatan) di Terengganu.

“Juga kita beri mandat kepada agensi JKR dan sebagainya supaya membuat pemantauan dan membantu pihak pengurusan pondok serta pusat tahfiz yang ada di Terengganu.

“Kita tidak mahu kejadian tidak diingini berlaku sebab hari ini terlalu banyak pusat tahfiz dan pondok terutama swasta, mungkin ada premis tidak mengikut spesifikasi,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum itu, beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Marang menyertai Program Baik Pulih Rumah dijalankan secara gotong-royong bersama penduduk dan anggota agensi keselamatan di Marang di Kampung Jenang, di sini.

Di samping itu, beliau turut memaklumkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu juga sentiasa memantau perkembangan pusat-pusat tahfiz swasta yang terdapat di negeri itu dari semasa ke semasa.

“Dan kita minta pihak pengurusan pusat tahfiz terbabit agar mendaftar di bawah Kementerian (Bahagian Pendidikan Swasta) bagi memudahkan kerajaan untuk menyalurkan bantuan sewajarnya,”  katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PASIR MAS - Biarpun ruangnya sempit, tiada bilik tidur mahu pun ruang tamu, namun itulah tempat berteduh buat seorang ibu tunggal bersama dua anaknya di Kampung Landar, Slow Machang di sini.
  • KUANTAN - Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Begitulah dugaan yang terpaksa ditempuhi pasangan suami isteri apabila anaknya disahkan penyakit potassium iaitu mengalami kekurangan garam dalam badan.
  • MELAKA - Merajuk apabila ditegur menyebabkan seorang wanita menghilangkan diri meninggalkan suami dan anak-anak yang masih kecil, sejak dua minggu lalu.
  • SABAK BERNAM - "Walaupun mak cik dah lanjut usia dan tak lagi kuat seperti dulu, tapi makcik tetap cekal untuk uruskan anak yang terlantar," demikian kata seorang warga emas, Sauyah Konek, 76.
  • SUNGAI UDANG - Walaupun menghidap pelbagai jenis penyakit namun masih mampu menjaga suaminya yang terlantar sakit diserang angin ahmar sejak lapan tahun lalu.