KUALA TERENGGANU – Bau kotor, busuk dan meloyakan serta air bertakung setiap kali hujan sudah tidak menjadi igauan kepada mangsa-mangsa perpindahan dari Ladang Tok Pelam, Ladang Rest House, Ladang Mengabang dan Ladang Sekolah yang kini menghuni Pangsapuri Ladang Gemilang Fasa I.

Suasana lebih kondusif dialami sejak tujuh lalu oleh penghuni memandangkan kebanyakan mereka khususnya yang menetap di blok C iaitu bangunan kos mampu milik, pernah menghuni penempatan setinggan yang berhadapan keadaan tidak menyenangkan.

Norizan Abu Bakar, 55, berkata, sejak berpindah ke pangsapuri tersebut dari Ladang Tok Pelam, kehidupan yang dirasai bersama suami dan anaknya lebih baik apatah lagi dengan kemudahan asas lebih teratur.

“Kalau dulu dengan lumpur dan bau busuk akibat air bertakung sehingga kerap kali kedengaran orang diserang denggi tetapi di sini, keadaan sudah berbeza,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Pangsapuri Ladang Gemilang I, di sini, semalam.

Norizan turut bersyukur apabila dia antara 20 orang yang layak mendapat bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) yang telah menjelaskan bayaran tunggakan sewa rumah sebanyak RM20,000 menjadikannya berbaki sebanyak RM3,300.

Bagi Suraya Sulong, 34, yang turut mendapat bantuan dari Maidam sebagaimana Norizan dan bantuan keperluan asas daripada masjid memberitahu, dia bersama dengan suami dan lima anaknya berusia sebulan hingga 14 tahun dapat melayari kehidupan berkeluarga yang lebih baik memandangkan sebelum ini menumpang di rumah mertua.

Menurutnya, tiga orang anaknya dilahirkan di pangsapuri tersebut juga tidak sempat merasa kepayahan termasuk suasana banjir sebagaimana anak sulung dan anak keduanya.

“Kehidupan sekarang selesa. Dahulu kalau hujan, selalu akan cari bekas untuk tadah air dan juga air cepat melimpah apabila hujan,” katanya.

Zaiton Deraman, 58, yang juga tukang cuci bangunan memberitahu soal keselamatan, kebajikan dan kesihatan diberi perhatian oleh pelbagai pihak khususnya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Ladang Tok Pelam.

Sehubungan itu katanya, tindakan berpindah daripada Ladang Tok Pelam sebelum ini adalah langkah tepat.

Zaiton berasal dari Ladang Mengabang memberitahu dia masih mengalami rasa takut atau trauma terhadap angin dan hujan yang kuat kerana pernah berdepan pengalaman menakutkan apabila rumahnya pernah dipukul ombak menyebabkannya sekeluarga meredah kegelapan malam mencari tempat berteduh di rumah saudara mara.

“Pengalaman tersebut menakutkan dan akibat kesusahan dahulu, saya amat bersyukur dengan apa yang diberikan. Susah hendak cari orang beri perhatian macam ini. Terima kasih kepada kerajaan,” katanya.

Bagi orang kurang upaya (OKU) penglihatan, Mohd Husni Che Da, 54, sebelum ini dia tinggal di rumah pusaka di Ladang Sekolah dengan jumlah ahli keluarga yang ramai bersama tujuh adik beradiknya yang lain berada dalam rumah yang sama.

Bagaimanapun kehidupan bertambah selesa apabila dia terpaksa berpindah ke pangsapuri tersebut berikutan tapak rumah pusakanya itu termasuk dalam pelan pembangunan pangsapuri itu.

Dia kini menetap bersama seorang kakaknya, Zahara Muda, 64, yang turut mengalami masalah penglihatan serta anak saudaranya, Mohd Hafiz Sazwan Bidi, 28.

“Kami dua beradik mendapat bantuan daripada Maidam RM300 setiap seorang dan bantuan barangan keperluan harian dari masjid,” katanya.

Pangsapuri Ladang Gemilang I dilengkapi kemudahan asas serta diberi subsidi RM75,000 seunit berbanding harga semasa iaitu RM150,000.

Sehingga kini seramai lebih kurang 2,000 orang menghuni Pangsapuri Ladang Gemilang I yang mempunyai tiga blok iaitu A, B, C yang mana blok A dan B adalah untuk kos sederhana setinggi 11 tingkat manakala blok C untuk kos mampu milik mempunyai 16 tingkat.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BAHAU - Majlis Daerah Jempol (MDJL) akan menggunakan kaedah pembaikan berlainan di Kawasan Perindustrian Bahau yang didakwa rosak selepas dibaiki.
  • TEMERLOH - Pekerja tiga syarikat bas di Terminal Bas Lurah Semantan di sini menggesa tindakan sewajarnya dikenakan terhadap pemilik kenderaan yang menghalang operasi bas dengan meletakkan kenderaan mereka di kawasan tidak sepatutnya.
  • IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan menyiasat aduan lebih 400 penduduk Kampung Hijrah dekat Ulu Chepor di sini mengenai sebuah projek perumahan yang didakwa membawa kesan buruk kepada mereka.
  • KUANTAN - [VIDEO] Sampai bila kami kena menunggu. Itu rungutan kira-kira 3,000 penduduk di Taman Bandar Kuantan Putri (BKP) di sini yang mengeluh berikutan loji kumbahan baru masih belum dibina di kawasan perumahan tersebut.
  • KUANTAN - Pelbagai masalah timbul termasuk perubahan pelan bangunan yang dilakukan beberapa kali menjadi punca kelewatan projek pembinaan Masjid Felda Bukit Kuantan yang baharu.